Amanah Raya Berhad (ARB) menafikan memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB.
Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tuduhan Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik adalah berniat jahat dan bertujuan untuk merosakkan kredibiliti ARB.
"Saya nak nyatakan secara jelas, nyata dan terang bahawa tidak ada sebarang pinjaman dengan amaun dan perjanjian yang dinyatakan, berlaku di ARB.
"Ianya sama sekali tidak pernah berlaku dan tak pernah dibawa untuk mendapatka kelulusan di bawah persetujuan keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah yang saya pengerusikan selama ini," kata Reezal dalam satu kenyataan hari ini.
"Saya akan segera mengarahkan tindakan undang-undang diambil di atas kebiadapan dan serangan jahat Ng. Fitnah ini tidak mungkin saya biarkan berlalu begitu sahaja," tambahnya.
Ng mendakwa dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini bahawa ARB telah memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB pada kadar faedah empat peratus setahun.
Memetik sumber-sumber, beliau juga mendakwa pinjaman itu hanya diluluskan apabila Reezal yang juga ahli Parlimen Kepala Batas dilantik sebagai pengerusi ARB.
Reezal bagaimanapun menyangkal tuduhan tersebut dengan berkata tidak terdapat sebarang dokumen bagi menyokongnya.
"Ng seperti yang dilaporkan, gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong tuduhan ini," katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Presiden 1MDB Arul Kanda berkata syarikatnya tidak pernah mempunyai sebarang urusan dengan ARB.
"Tidak ada kebenaran dalam dakwaan ahli Parlimen pembangkang bahawa 1MDB telah mengambil pinjaman RM2 bilion daripada ARB
"1MDB tidak pernah mempunyai apa-apa urusan kewangan, termasuk pinjaman, dengan ARB," katanya.
