Salah seorang anak kapal MT Orkim Harmony, Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 20, berada di kapal yang dilaporkan hilang Khamis lepas, semata-mata bagi memenuhi keperluan latihan praktikalnya selama enam bulan dengan syarikat pemilik kapal itu.
Habibah Baharom, 43, berkata anaknya Muhammad Aiman Shafiz sedang menjalani latihan praktikal bagi memenuhi keperluan pengajian Diploma Kejuruteraan Perkapalan yang sedang diikutinya.
Dia menuntut di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
"Kami sekeluarga menghantarnya pada 27 haribulan lepas di stesen bas Shahab Perdana, Alor Setar untuk ke Kuala Lumpur. Itulah kali terakhir, saya berjumpa dengannya."
"Saya tidak mahu apa-apa, hanya anak makcik ditemui dan selamat. Itu adalah harapan makcik sekeluarga," katanya kepada media di rumahnya di Taman Seri Marina Fasa Dua di Kuala Kedah semalam.
Pihak keluarga, katanya, mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di rumah serta masjid berdekatan bagi mendoakan keselamatan Muhammad Aiman Shafiz.
Menurut Habibah, pihak pengurusan syarikat pemilik MT Orkim menghubungi suaminya dua hari lepas bagi memaklumkan tentang kehilangan kapal tangki terbabit.
Syarikat pemilik kapal itu menurutnya memaklumkan mereka terputus hubungan dengan MT Orkim dan gagal dikesan oleh radar.
Sementara itu menurut Habibah, anaknya memang berminat dengan bidang perkapalan dan kerana itu dia memilih bidang pengajian itu.
"Dia memang minat dengan bidang perkapalan," katanya sambil menambah, sepanjang pengajiannya di politeknik itu anaknya memperolehi keputusan cemerlang dengan purata gred terkumpul mencecah 3.5 mata.
Kapal MT Orkim yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.
Kapal yang dimiliki oleh syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia. Anak kapal lain terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar.
Sementara itu, kesemua petunjuk siasatan awal ke atas kehilangan kapal tangki berdaftar di Malaysia MT Orkim Harmony yang memasuki hari kelima semalam, menjurus kepada kes rompakan di laut, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata ini kerana tiada panggilan kecemasan diterima daripada kapal itu selain tiada tanda ia menghadapi kemalangan ketika hilang pada 8.57 malam Khamis lepas.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya semalam, Ahmad Puzi juga menolak kemungkinan kapal itu dirampas dan anak kapal dijadikan tebusan memandangkan sehingga 3.30 petang tadi tiada mana-mana pihak menghubungi untuk meminta wang tebusan.
Kapal tangki itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk Kaptennya Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.
Ahmad Puzi berkata setiap cubaan untuk menghubungi kapal itu gagal setakat ini dan ia masih tidak berjaya dikesan biarpun dilengkapi dengan pelbagai alat perhubungan dan sistem pengesan kedudukan.
Beliau berkata APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga telah mengepung jalan keluar di perairan negara dan telah menghubungi kesemua pihak berkuasa maritim dalam negara anggota ASEAN, selain mendapatkan kerjasama dari Amerika Syarikat dan Australia dalam usaha mencari kapal tangki yang hilang itu.
TLDM pula memperluaskan kawasan pencarian bagi mengesan kapal tangki membawa petrol yang dilapor hilang di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor Khamis lepas, meliputi kira-kira 4,000 batu nautika persegi.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata 150 anggota TLDM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk tiga kapal iaitu KD Terengganu, KD Pendekar dan KD Ganyang.
- Bernama
