Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timbalan IGP selia kes demo abang bosnya
Diterbitkan:  Jun 17, 2015 12:22 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, sebarang urusan berkaitan kes protes di gereja Taman Medan akan dikendalikan oleh timbalan ketua polis negara.

Menurut kementerian itu, pihak pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan bahawa kes itu akan dikendalikan oleh Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim bagi mengelakkan ketidakadilan dalam penyiasatan kes tersebut.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata segala keputusan akhir adalah terletak bawah kuasa Peguam Negara.

"Polis telah menjalankan siasatan berkait kejadian itu di bawah Seksyen 448/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan cuba melakukan pencerobohan bangunan.

"Memandangkan salah seorang daripada peserta bantahan tersebut adalah abang kepada ketua polis negara, pengurusan PDRM telah memutuskan bahawa sebarang urusan berkaitan kes ini akan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara bagi mengelak ketidakadilan dalam penyiasatan,

"Namun demikian segala keputusan akhir adalah terletak di bawah bidang kuasa Peguam Negara," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Parlimen hari ini.

Ramkarpal meminta penjelasan daripada menteri dalam negeri berhubung usaha yang diambil bagi mengecualikan penglibatan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam siasatan kes bantahan di sebuah gereja di Taman Medan.

Ia berikutan salah seorang peserta protes itu merupakan abang kepada Khalid iaitu Datuk Abdullah Abu Bakar.

Pada 20 April lalu, sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di depan sebuah gereja di Taman Medan menuntut lambang salib pada bangunan itu diturunkan.

Seorang daripada individu yang terbabit ialah Abdullah yang juga merupakan ketua Umno Cawangan Taman Lindungan Jaya.

Berikutan kejadian itu, Abdullah serta beberapa lagi peserta protes itu telah dipanggil pihak polis dan siasatan kes itu tidak diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS