Landskap politik yang berubah dengan pantas, membuka peluang baru, termasuk pembentukan sebuah parti politik yang benar-benar inklusif, kata pemimpin G25, Datuk Noor Farida Ariffin.
Daripada membentuk gabungan baru, Noor Farida berkata, sebuah parti baru dengan cita-cita yang betul, sudah memadai.
"Saya harap kita boleh mempunyai 'kuasa ketiga' dalam politik. Sebuah parti baru berbilang kaum yang sederhana dalam bentuk sebuah parti politik baru, akan mengakhiri politik perkauman," katanya.
Bagaimanapun, katanya, melainkan jika dan sehingga ada parti baru seumpama itu, adalah baik untuk politik di negara ini jika DAP dan PKR dibubarkan dan bersama dengan progresif dari PAS, bergabung menjadi sebuah parti.
"Ia akan menandakan permulaan sistem dua parti yang sebenar di Malaysia," kata Noor Farida (gambar) kepada Malaysiakini .
Beliau menyatakan demikian ekoran pengisytiharan oleh DAP dan PKR bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.
Walaupun Noor Farida percaya bahawa penggabungan yang disarankannya itu adalah ideal, tetapi pada hakikatnya, beliau berkata, sukar untuk mencapai ideal seumpama itu.
Dengan mengambil kira sikap ahli politik, Noor Farida tidak menjangkakan ia akan berlaku dalam masa terdekat ini tetapi menegaskan bahawa kita memerlukan 'game changer'.
G25 adalah sekumpulan pesara Melayu ternama dalam perkhidmatan awam yang muncul Disember tahun lalu untuk menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul menangani isu ekstremis di negara ini.
Kumpulan itu antara lain terdiri daripada bekas hakim, cendekiawan dan diplomat.
