Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pilu suami keluar penjara sebagai mayat
Diterbitkan:  Jun 19, 2015 12:32 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Siapa tidak sedih, selepas tiga tahun menanti tamat hukuman penjara, orang yang disayang akhirnya keluar sebagai mayat.

Begitulah nasib yang menimpa Herny Karnita Karnain setelah suaminya Zulfakry Ibrahim, 43, dilapor mati dalam Pusat Tahanan Sementara Sandakan pada 9 Jun.

Menurut NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Zulfakry tamat menjalani hukuman penjara pada 3 Jun selepas disabit kesalahan mencuri besi – tuduhan yang didakwa “penganiayaan” oleh keluarganya.

Zulfakry kemudian dikatakan dipindahkan dari Penjara Sandakan ke Pusat Tahanan Sementara Sandakan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan.

Bagaimanapun, selepas isterinya membawa kad pengenalan dan melalui beberapa proses, Herny akhirnya dimaklumkan pada 10 Jun bahawa suaminya meninggal dunia akibat jatuh dan tidak sedarkan diri di pusat tahanan.

SUARAM mengesyaki Zulfakry diseksa semasa di Pusat Tahanan Sementara Sandakan.

Alasan tak meyakinkan, kata Suaram

Badan itu menggesa polis mengadakan siasatan segera ke atas kes tersebut, memandangkan penjelasan berhubung sebab kematian didakwa tidak meyakinkan.

“Kami percaya bahawa terdapat unsur-unsur menjurus kepada penyeksaan yang mungkin menyebabkan Zulfakry mati dalam tahanan akibat penyeksaan tersebut,” kenyataan Suaram dipetik.

Suaram berkata bedah siasat di Hospital Sandakan pula telah menyatakan bahawa mangsa mati disebabkan oleh jantung yang tersumbat.

“Ahli keluarga mangsa berasa tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasatan tersebut kerana terdapat kesan-kesan lebam di badan mangsa seperti di bahagian tangan, bahu, telinga, tengkuk dan leher.

“Manakala, hidungnya telah patah tetapi tidak dijelaskan puncanya dalam laporan bedah siasat tersebut mahupun sebarang penjelasan daripada pihak pusat tahanan,” kata Suaram.

Badan itu juga menyalahkan pihak pengurusan penjara yang disifatkan bertindak dengan tidak profesional sehingga menyebabkan kematian itu berlaku pada 9 Jun lalu.

“Suaram mengutuk tindakan pihak Penjara Sandakan yang tidak melakukan proses dokumentasi untuk pihak mangsa dengan lebih awal semasa sesi hukuman dijalankan.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS