2 pelajar asing didakwa rompak USD1 juta
Dua pelajar warganegara asing didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merompak wang tunai berjumlah USD1 juta (RM3.72 juta) milik seorang lelaki bergelar Datuk, bulan lepas.
Donzo Mohamed, 29, dari Guinea dan Mooussa Kamdemjuces, 33, dari Cameroon, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.
Donzo dan Mooussa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak sebuah beg milik Datuk K. Thiagu, 40, yang mengandungi wang tunai tersebut dan dua telefon bimbit.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan itu dengan bersenjatakan dua bilah pisau pemotong daging di Bilik Hotel No 1888, Tingkat 18, Hotel Pearl Point, Jalan Klang Lama, di ibunegara pada jam 3.50 petang 9 Mei lepas.
Mereka yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya S. Nithia tidak menawarkan sebarang wang jaminan dengan alasan kedua-dua tertuduh merupakan warganegara asing dan mengambil kira jumlah kerugian yang tinggi dialami mangsa.
Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.