Khutbah: Di balik lapar ada sabar

   

Sempena bulan Ramadan, khutbah Jumaat di Selangor mengingatkan bahawa di sebalik lapar dan dahaga, Islam mendidik manusia supaya bersabar.

Puasa juga menurut mimbar, jalan mempersiapkan diri menjadi orang yang sabar, tahan ujian, gigih berjuang demi mengharapkan keredaan Allah.

"Tidak ada satu sekolah pun di dunia ini yang dapat mendidik keinginan manusia dan mengajarkan makna kesabaran melainkan dengan melaksanakan ibadah puasa.

"Kenapa puasa dikatakan separuh kesabaran? Jawapannya ialah bahawa dalam diri manusia terdapat tiga kekuatan; kekuatan syahwat, kekuatan marah dan kekuatan rohani. Jika kekuatan rohani mampu mengalahkan kekuatan lainnya, bermakna ia telah memiliki separuh kesabaran," menurut teks khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Malah, mimbar berkata, seorang yang berpuasa dan dapat menundukkan kekuatan syahwat, perut dan kemaluan, bermakna puasa yang dikerjakannya separuh kesabaran.

Peluang perubahan diri

Sementara itu, teks khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula mengingatkan bahawa bulan Ramadan merupakan peluang yang terbaik untuk membuat perubahan diri.

Justeru, mimbar menyeru supaya seluruh umat Islam mengimarahkan bulan Ramadan dengan melakukan amal ibadat di surau dan masjid sepanjang bulan ini.

"Segala ibadah yang dituntut pada bulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk membina perubahan diri.

"Ingatlah, segala ibadah di bulan Ramadan yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah.

"Oleh itu, mimbar yang mulia ini, menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengimarahkan bulan Ramadan dalam membina ketakwaan kepada Allah," kata teks khutbah Jumaat itu lagi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In