Suspek rompak MT Orkim Harmony ditahan
Lapan suspek yang merompak kapal tangki MT Orkim Harmony ditahan pihak berkuasa Vietnam, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata mereka ditahan berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam semasa cuba meloloskan diri daripada pemburuan.
"Mereka kini sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa Vietnam," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan MT Orkim Harmony di Putrajaya hari ini.
Ahmad Puzi berkata pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Vietnam bagi mendapat kerjasama untuk membawa penjenayah itu ke Malaysia.
Sementara itu, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata Kapten kapal tangki MT Orkim Harmony, Nor Fazly Sahat hanya memaklumkan bahawa kapal tangki itu telah bebas daripada tawanan, hampir lima jam setelah kesemua lapan perampas kapal tersebut melarikan diri.
Perampas kapal MT Orkim Harmony itu melarikan diri menggunakan bot penyelamat kapal tangki itu kira-kira 8.30 malam tadi dan kapten kapal itu memaklumkan kepada Kapal Diraja (KD) Terengganu pada 12.55 tengah malam untuk diselamatkan.
Abdul Aziz berkata sebelum itu Nor Fazly telah diugut akan diancam keselamatan keluarganya jika mendedahkan rancangan mereka untuk meninggalkan kapal.
"Nor Fazly hanya memaklumkan kepada KD Terengganu hampir lima jam setelah mereka (perampas kapal) melarikan diri demi keselamatan keluarganya.
"Selain itu, mereka (perampas kapal) juga telah mengambil butiran peribadi keluarga Nor Fazly," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini.
Abdul Aziz berkata kapal tangki itu bebas daripada tawanan apabila lapan perampas kapal itu melarikan diri ketika dalam pelayaran menuju ke Kepulauan Natuna, Indonesia.
.
PM bersyukur
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.