Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan mahu anak hadir
Diterbitkan:  Jun 26, 2015 7:30 AM
Dikemaskini: Jun 26, 2015 2:13 AM

Mahkamah Persekutuan Putrajaya memerintahkan ibu dan bapa yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan, membawa dua anak mereka ke mahkamah pada hari mahkamah menyampaikan keputusannya berhubung hak penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Anak perempuan pasangan itu yang berumur 10 tahun tinggal bersama ibu S Deepa, penganut Hindu, manakala anak lelaki mereka berumur tujuh tahun tinggal bersama bapa, Izwan Abdullah, yang telah memeluk Islam.

"Kami mahu dua kanak-kanak ini hadir semasa kami menyampaikan keputusan kami," kata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel hakim lima anggota semalam.

"Beritahu mereka (ibu bapa) untuk membawa kanak-kanak berkenaan," katanya selepas peguam mewakili Izwan, Mohamed Haniff Katri Abdulla memaklumkan kepada panel itu tentang kehadiran anak guamnya (Izwan) di mahkamah.

Deepa, 32, dan Izwan, 31, yang dahulunya penganut Hindu bernama N Viran, hadir di mahkamah semalam tetapi dua anak mereka tidak hadir.

Hakim Raus, yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Azahar Mohamed, menangguhkan keputusan mereka ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian dalam rayuan dikemukakan Izwan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung perkara itu.

Izwan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan dua anak mereka yang beliau telah tukarkan agama mereka kepada Islam, kepada ibu kanak-kanak itu.

Izwan, Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara (AG) turut merayu terhadap perintah mendapatkan semula anak dikeluarkan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mengesannya (Izwan) dan mengembalikan semula anak lelaki itu kepada ibunya.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perintah hak penjagaan dan perintah mendapatkan semula anak.

Pada 14 Januari tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Izwan bagi penangguhan pelaksanaan perintah untuk beliau mengembalikan semula anak lelakinya kepada ibunya, sementara menunggu rayuan itu selesai.

Mahkamah Tinggi pada 21 Mei tahun lepas memerintahkan anak lelaki pasangan itu dikembalikan kepada Deepa, dan memberi autoriti kepada polis untuk membantu wanita itu dalam mendapatkan semula anak lelakinya itu.

Izwan dilaporkan telah mengambil anak lelakinya itu pada 9 April tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan kepada Deepa. Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut upacara Hindu.

Pada 2012, Izwan memeluk Islam dan menukarkan agama anaknya pada tahun yang sama tanpa pengetahuan isterinya. Dia kemudian memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Terdahulu dalam prosiding di mahkamah semalam, Mohamed Haniff dalam hujahannya berkata Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan hak penjagaan kanak-kanak itu kepada Deepa kerana wanita itu tidak mencabar penukaran agama kanak-kanak berkenaan.

Katanya oleh kerana kanak-kanak berkenaan sudah ditukar agama kepada Islam, Mahkamah Syariah merupakan mahkamah yang betul untuk memutuskan tentang hak penjagaan sambil menambah pasangan bukan Islam boleh hadir di Mahkamah Syariah.

Mohamed Haniff berkata seorang bapa yang telah memeluk agama Islam boleh menukarkan agama anaknya secara sendirian tanpa kebenaran ibu kanak-kanak itu.

Beliau berkata Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 tidak boleh diguna pakai pada kanak-kanak berkenaan kerana mereka sudah ditukar agama kepada Islam sebelum petisyen perceraian difailkan.

Peguam Fahri Azzat yang mewakili Deepa, dalam hujahnya berkata oleh kerana kanak-kanak berkenaan dilahirkan dalam perkahwinan sivil mengikut Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Mahkamah Tinggi Sivil merupakan mahkamah yang betul untuk menyelesaikan soal hak penjagaan kanak-kanak berkenaan.

"Apabila satu pihak ditukar agama, mahkamah sivil masih mempunyai bidang kuasa," katanya dan menurutnya sekiranya Deepa hadir di Mahkamah Syariah, undang-undang tidak menyediakan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan perintah berhubung haknya, dalam isu hak penjagaan.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KPN dan AG, berkata orang bukan Islam tidak boleh menjadi pihak dalam Mahkamah Syariah tetapi boleh hadir sebagai saksi.

Berhubung perintah mendapatkan semula anak, katanya terdapat dua perintah yang sah daripada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi, oleh itu KPN tidak dapat menguatkuasakan perintah itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS