Penduduk takut diserang buaya
Biarpun menyedari risiko diserang buaya ketika mandi di Sungai Paitan, penduduk di Kampung Sulit tiada pilihan bagi mendapatkan sumber air.
Sungai itu dijadikan tempat mandi dan membasuh pakaian oleh kira-kira 200 orang penduduk di kampung itu yang merupakan antara perkampungan terletak di kawasan luar bandar di daerah kecil Paitan.
Kejadian terbaharu, penduduk kampung itu diserang buaya ketika mandi di Sungai Paitan itu adalah pada 7 Jun lepas, membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Simpangan yang nyaris dibaham buaya ketika sedang mandi bersama keluarga di jeti kampung itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Kismawanawati Barten, 15, mengalami luka pada buku lali kaki kanannya akibat digigit buaya.
Bapanya, Barten Sarakan, 40, ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata ketika kejadian dia bersama isteri dan dua orang lagi anak mereka berumur tujuh dan lapan tahun turut berada di tempat kejadian.
Katanya kejadian berlaku apabila mereka sedang mandi di jambatan jeti kampung berkenaan, Kismawanawati duduk di jambatan itu sambil meletakkan kakinya di permukaan air.
"Tiba-tiba Kismawanawati dalam keadaan menendang-nendang kakinya ke permukaan air menjerit 'naik naik naik' meminta kami naik ke darat terlebih dahulu untuk menyelamatkan diri," katanya.
Beliau bersyukur kerana Kismawanawati selamat walaupun mengalami kecederaan pada kaki kanannya dan menerima rawatan selama lima hari di Hospital Pitas.
Barten berkata mereka terpaksa mandi dan membasuh pakaian di sungai berkenaan walaupun tahu mengenai kehadiran buaya bagi mendapatkan sumber air disebabkan kampung itu tiada sumber bekalan air paip.
Menurutnya untuk air minuman, mereka terpaksa bergantung kepada sumber air hujan.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.