Bekas CJ risau hakim 'liberal' ancam nilai Islam

   

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad menyuarakan kekhuatiran bahawa segelintir hakim yang terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala barat boleh mengancam nilai Islam di negara ini.

Katanya, ia berlaku ekoran tindakan mereka yang memberi "tafsiran yang sangat liberal" mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan, lapor Utusan Malaysia Online Hari ini.

Laporan itu menyebut, beliau berkata hakim tersebut mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam.

Beliau memberi contoh kes larangan dan hukuman tiga juru andam lelaki yang berpakaian wanita di Negeri Sembilan dengan alasan mengisytihar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka juga memakai prinsip kemunasabahan yang diketengahkan oleh Supreme Court (Mahkamah Agung) India yang memberi kuasa kepada hakim-hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak sah atas alasan ia ‘tidak munasabah’.

"Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita.

"Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai-nilai kita,” kata beliau seperti yang dilapor dalam portal berita itu.

Beliau mengulas berhubung keputusan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat bahawa pasangan gay dan lesbian mempunyai hak berperlembagaan untuk berkahwin di semua 50 negeri di negara itu.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In