Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tuntut Najib, Rosmah isytihar harta
Diterbitkan:  Jul 3, 2015 12:23 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

PAS menuntut Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan harta susulan laporan mendakwa terdapat pergerakan tunai daripada badan dikaitkan dengan 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.

Parti Islam itu juga menuntut isteri perdana menteri Rosmah Mansor mengambil tindakan sama susulan laporan sensasi dan mengejutkan media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) hari ini.

“PAS menggesa Najib untuk mengambil langkah strategik – iaitu melakukan pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan beliau bersama isterinya untuk membersihkan nama segera.

“Bank-bank yang dinamakan perlu dijadikan saksi dalam pengisytiharan harta ini supaya ia nampak telus dan berwibawa,” kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata langkah mengisytiharkan harta jauh lebih berkesan untuk menangkis tuduhan terhadap Najib kali ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, pada tahap ini, penafian semata-mata sudah tidak mencukupi untuk menghalang tanggapan negatif pada imej Najib.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS juga sidang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dengan pegawai kanan 1MDB dilakukan segera.

Tuan Ibrahim juga berharap Putrajaya tidak memburukkan lagi keadaan dengan tindakan yang didakwa mencurigakan.

Ini, katanya, termasuk menjadikan laporan interim pengauditan 1MDB sebagai laporan eksklusif bukan untuk awam serta mengenakan surat tunjuk sebab kepada The Edge susulan laporannya berkaitan kontroversi seputar syarikat pelaburan negara itu.

Lihat Komen
ADS