Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Sesyen Butterworth memutuskan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu tidak bersalah atas dakwaan membuat kenyataan fitnah berkaitan serangan komunis di balai polis Bukit Kepong pada 1950.

Beliau dituduh memburuk-burukkan anggota polis dan keluarganya dalam insiden itu dalam ceramah di Tasek Gelugor pada Ogos 2011.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ditemani peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang juga anggota parlimen Sepang. [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan sebaik selesai mendengar keputusan itu kira-kira 30 penyokong yang mengiringi Mat Sabu melaungkan takbir.

    

Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

    

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek Gelugor dekat Butterworth pada 21 Ogos 2011.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

    

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    

Sementara itu, Mat Sabu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau berterima kasih kepada peguamnya Mohamed Hanipa Maidin.

    

"Dengan keputusan tadi, hakim telah membebaskan saya daripada tuduhan memfitnah berhubung isu Bukit Kepong," katanya.

    

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang Datuk Razali Che Ani.

Lihat Komen
ADS