Transparency International Malaysia (TI-M) menjarakkan dirinya daripada tuduhan bekas presidennya Tunku Abdul Aziz yang menuduh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “mencipta” skandal kewangan 1MDB.
“TI-M ingin menegaskan tiada kena mengena dengan kenyataan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan pandangannya berhubung dakwaan skandal kewangan serta sekarang serta pertelingkahannya dengan Tun Dr Mahathir dalam isu ini.
“Ditegaskan bahawa pandangan Tunku Aziz tidak menggambarkan pendirian TI-M dan sepenuhnya sentimen peribadi beliau,” kata presiden badan antirasuah itu Akhbar Satar ( gambar ).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang sedang berdepan dakwaan berlaku penyaluran wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada badan berkaitan 1MDB ke dalam akaun peribadinya.
Membela dirinya, Najib berkata “tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri”.
Pada Mei lalu, Tunku Abdul Aziz, yang kini berkhidmat sebagai anggota lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dilapor mendakwa krisis 1MDB adalah ciptaan Mahathir.
Tunku Abdul Aziz juga mendakwa perdana menteri keempat itu terlibat dalam skandal lebih besar semasa 22 tahun pentadbirannya.
Akhbar menjelaskan walaupun Tunku Abdul Aziz merupakan ketua pertama TI-M, beliau tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan organisasi itu.
Beliau juga, kata Akhbar, bukan lagi anggota TI dan tidak lagi terlibat aktif dengan mereka.
