Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil ahli perniagaan Jho Low susulan kedudukannya sebagai penasihat kepada syarikat pendahulu 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA).

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata mereka membuat keputusan itu selepas mendengar taklimat berkaitan pelaburan oleh 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jazlan memberitahu perkara itu kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

TIA bertukar kepada 1MDB pada September 2009 selepas diambil alih oleh kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa PAC akan mengeluarkan surat panggilan kepada semua saksi minggu depan dan memulakan prosiding pada pertengahan September.

"Surat panggilan untuk Low akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan, dan kita berharap kementerian akan dapat memberikan kerjasama memanggil Low untuk memberi keterangan di hadapan PAC," Jazlan dipetik sebagai berkata.

Selain Jho Low, PAC dilapor akan memanggil lagi eksekutif 1MDB serta anak-anak syarikatnya sebagai saksi.

PAC juga akan memanggil Ketua Pegawai Pelaburan, Vincent Koh Beng Huat, Penasihat Undang-Undang Ivan Cheng, Pengarah Eksekutif Kewangan Terence Geh, kata Nur Jazlan.

Turut dipanggil Lembaga Pengarah 1MDB International Holdings Ltd Datuk Shahrul Azral Ibrahim Helmi dan Jasmine Loo Ai Wan serta Pengarah Brazen Sky Azmi Tahir.

Beliau berkata juruaudit-juruaudit 1MDB iaitu Deloitte Malaysia, KPMG dan Ernst & Young juga akan dipanggil semula bagi menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam laporan awal ini.

Pua: Sengaja lengahkan?

Sementara itu, Bernama juga melaporkan ahli jawatankuasa PAC Tony Pua sebagai menggesa Kementerian Kewangan memberi kerjasama penuh dengan menyerahkan dokumen-dokumen yang diminta.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan pihak kementerian sejak April, namun sehingga hari ini satu dokumen pun belum diserahkan kepada PAC.

"Adakah pegawai kementerian disekat oleh pihak atasan daripada menyampaikan dokumen-dokumen yang dikehendaki atau sengaja melengah-lengahkannya?" beliau dipetik sebagai berkata.

Pada 4 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Ketua Audit Negara supaya mengesahkan secara bebas akaun-akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada PAC yang bersifat 'dwipartisan' sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

"Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Najib dalam kenyataan itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS