Pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan penyaluran dana 1MDB ke akaun perdana menteri berkata mereka sudah maklum berkaitan dakwaan lain RM2 juta dimasukkan ke akaun isterinya Rosmah Mansor.
Pasukan bersepadu empat agensi itu juga berkata mereka sudah tahu berhubung pendedahan Sarawak Report semalam.
“Selanjutnya berkaitan dengan pendedahan media mengenai akaun isteri perdana menteri, perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh pasukan petugas khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang dijalankan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh ketua-ketua di Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka juga menegaskan menjalankan siasatan dengan telus, bebas dan profesional serta berharap semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan mereka.
Pasukan itu juga berkata semua pendedahan dipandang serius dan siasatan akan dibuat serta kenyataan diambil daripada semua orang yang berkenaan.
Sarawak Report semalam membuat dakwaan itu berasas maklumat diterima berkaitan sebuah akaun dengan Affin Bank Berhad.
Laman pembocor maklumat itu mendakwa RM2,000,000 dimasukkan ke dalam dua akaun secara berperingkat-peringkat.
Malaysiakini sudah menghubungi seorang pembantu Rosmah dan masih menunggu reaksi pihak beliau.
Bercakap dengan portal berita ini di Melaka kelmarin, Rosmah menasihatkan semua pihak supaya tidak memfitnah antara satu sama lain di bulan Ramadan yang mulia ini.