mk-logo
Berita
Pekerja di Plaza Low Yat dipukul dalam pergelutan
Diterbitkan:  Jul 12, 2015 7:19 AM
Dikemaskini: 11:17 AM

Satu pergelutan berlaku di sebuah kedai telefon pintar di Plaza Low Yat selepas sekumpulan pemuda bergaduh dengan pekedai di situ petang semalam.

Gambar-gambar dan video pergelutan yang berlaku di tingkat bawah di kompleks yang menjual peralatan elektroteknik itu telah tersebar meluas di dalam media sosial.

Dalam laporan New Strait Times Online melaporkan seramai tujuh pemuda mengamuk selepas seorang rakan mereka ditahan kerana didakwa mencuri telefon bimbit.

Dalam kejadian 7.50 malam itu kelihatan beberapa pekerja kedai telefon telah dipukul oleh kumpulan pemuda itu. Turut dirosakkan banyak produk dan peralatan di kedai itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Zainuddin Ahmad berkata polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun kerana merusuh dan masih memburu yang lain.

“Siasatan awal dapati kejadian ini berpunca ekoran penahanan suspek pencuri oleh pengawal keselamatan Plaza Lowyat dan kemudiannya menyerakannya kepada pihak polis.

“Rakan suspek kecewa dengan penahanan itu dan memanggil kawan-kawannya untuk membalas dendan,"kata beliau seperti yang dilaporkan akhbar itu.

Zainuddin menganggarkan kerosakan sekitar RM70,000.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan menyebabkan kerosakan.

Bagaimanapun cerita di Internet, insiden itu digambarkan dengan cara berbeza.

Beberapa blog menulis bahawa 'pencuri' sebenarnya ditipu oleh peruncit semasa membeli telefon dari sebuah kedai di sana.

Lelaki itu kemudiannya kembali dengan kawan-kawannya dan menuntut pampasan penuh sebelum menyerang premis itu. [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama hari ini melaporkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muez Abd Aziz berkata pihaknya turut menjalankan siasatan mengenai dakwaan terdapat penjualan barang tiruan di Plaza Lowyat.

    

"Kami menghantar petugas untuk membuat risikan sama ada wujud penipuan oleh penjual atau sebaliknya, sekiranya ada penipuan, maka KPDNKK akan mengambil tindakan lanjut," katanya.

    

Muez berkata sehingga kini pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada pengguna berhubung penjualan barang-barang tiruan di plaza itu, namun pemantauan sentiasa dijalankan bagi menjaga hak pengguna agar tidak ditipu.

    

Tinjauan Bernama di Plaza Lowyat hari ini mendapati kedai menjual telefon bimbit tersebut ditutup buat sementara waktu dan suasana persekitaran kembali seperti biasa.

    

Seorang penjual telefon bimbit di kedai berhampiran dengan lokasi kejadian, Ivan Lau, 20, menolak dakwaan di laman sosial bahawa peniaga di Plaza Lowyat menjual barang tiruan atau 'klon' kerana ia dibeli terus daripada pembekal yang sah.

    

"Kalau saya menipu, sudah pasti tiada pembeli datang ke sini...lagipun pengurusan Plaza Lowyat akan ambil tindakan mengenakan denda atau menutup serta-merta kedai yang didapati menjual barang 'klon' di sini," katanya.

Sementara itu Pengerusi Biro Aduan Awam Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata insiden pergaduhan itu bukanlah berkaitan isu perkauman, sebaliknya berpunca daripada kes dakwaan mencuri.

    

Beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu yang mengaitkan kejadian itu sebagai insiden pergaduhan kaum yang menjadi viral di laman sosial.

    

"Akibat tidak berpuas hati, suspek menghubungi rakannya seramai tujuh orang dan menyerang kedai itu," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Plaza Lowyat, hari ini.

    

Sementara itu, See Ming Ho, 28, pemilik kedai telefon terbabit mendakwa kejadian itu berlaku pada 5.30 petang.

    

"Lelaki itu berpura-pura ingin membeli telefon jenis Lenovo S860 dengan saya, apabila saya ingin mengambil hadiah percuma...lelaki terbabit telah lari bersama dengan telefon bimbit itu.

    

"Saya menjerit dan didengari oleh salah seorang petugas (Oppo) dan telah menghalang lelaki itu daripada keluar bangunan," katanya.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini