Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Tiada tindakan sebelum jadi parti Islam baru

Anne Muhammad

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS belum berminat bertindak terhadap sekumpulan bekas pemimpinnya yang telah mengisytiharkan untuk menubuhkan sebuah parti Islam baru.

Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berkata tindakan tidak boleh diambil sehingga parti baru itu didaftarkan secara rasmi bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mereka, dikenali sebagai G18, kini bergerak bawah platform kumpulan dinamakan Gerakan Harapan Baru yang diumumkan oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu hari ini.

“Gerakan Harapan Baru belum daftarkan lagi parti di bawah ROS, jadi masih belum boleh ambil tindakan.

“PAS juga masih belum dapat aduan daripada ahli PAS berkenaan gerakan itu jadi jawatankuasa disiplin tidak boleh ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa parti itu Plaza Hotel Kuala Lumpur.

Nasruddin berkata demikian selepas ditanya adakah PAS akan mengambil tindakan terhadap tindakan kumpulan progresif PAS itu.

Harapan Baru tiada nilai tambah

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man PAS berkata mana-mana ahli PAS yang bertindak mempromosi pembentukan parti lain atau berusaha menarik ahli PAS keluar parti akan gugur keahlian secara automatik.

“Peraturan kita tidak membenarkan mana-mana ahli parti terlibat dengan mana-mana parti lain sama ada mempromosikan, parti baru atau mengeratkan satu usaha ke arah ahli PAS keluar daripada parti.

“Ini bercanggah dengan perlembagaan parti, dan bagi PAS, minta ahli supaya tidak terlibat, dengan sebarang gerakan untuk melemahkan parti. Kita ada jawatankuasa disiplin yang bertindak jadi dalam hal ini kita harap semua pihak akur dengan keputusan muktamar,” katanya.

Tambah beliau, jika pembentukan Gerakan Harapan Baru dirasmikan, ia tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada muafakat pembangkang.

"Kumpulan ini tergolong dalam PAS. Jadi, tiada apa pun nilai tambah yang boleh diberi kepada pakatan pembangkang," jelasnya.