BERITA

'Jangan mimpi ambil S'gor melalui pintu belakang'

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jul 2015, 1:10 pagi

PAS Selangor mengingatkan Umno negeri itu supaya tidak bermimpi untuk mengambil alih negeri itu melalui 'pintu belakang".

Pesuruhjayanya Datuk Iskandar Samad mendakwa, berdasarkan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kelmarin, beliau berpendapat parti itu seolah-olah ingin kembali menguasai negeri Selangor dengan "helah" tertentu.

"Kami melihat tuntutan ini seolah-olah satu helah agar Umno dapat kembali menguasai kerajaan negeri Selangor.

"Nasihat kami kepada mereka adalah supaya menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan kuasa iaitu melalui proses pilihan raya," katanya dalam kenyataan semalam.

Malah beliau juga mengingatkan semua pihak agar tidak mengulangi peristiwa di Perak apabila terdapat ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa telah "dipujuk" untuk bersama BN.

"Sila berpolitik secara bersih dan bermaruah," katanya lagi.

Kelmarin Noh Omar dilaporkan mencabar PAS supaya meletak jawatan dalam exco kerajaan negeri Selangor  susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu membatalkan tahaluf siyasi dengan 

Cabaran juga ditujukan kepada DAP supaya keluar daripada gabungan pakatan pembangkang sekiranya parti itu komited untuk tidak menjalankan sebarang kerjasama dengan PAS.

Sementara itu, naib presiden PAS yang baru itu juga berkata, kerajaan Selangor masih lagi merupakan sebuah kerajaan Pakatan Rakyat walaupun Majlis Syura Ulama memutuskan agar parti Islam itu tidak lagi bekerjasama dengan DAP.

Katanya, tidak ada sebarang pengumuman yang dibuat oleh pemimpin tertinggi Pakatan yang mengatakan kerajaan Pakatan di Selangor sudah tidak lagi wujud.

"Tidak ada juga sebarang pengumuman bersama dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti Pakatan bahawa Pakatan ini tidak lagi wujud. PAS masih komited terhadap Pakatan dan perkara ini ditegaskan pada muktamar yang baru lalu.

"Keputusan Majlis Syura Ulamak baru-baru ini juga tidak memutuskan PAS keluar dari Pakatan," katanya.

Oleh itu, Iskandar berkata, PAS tidak perlu keluar daripada kerajaan negeri Selangor memandangkan parti Islam itu masih lagi berpendirian untuk menjalinkan kerjasama dengan PKR.

"Tidak ada sebab kenapa PAS perlu keluar dari kerajaan di Selangor. Sekiranya PAS telah keluar dari Pakatan, maka ketika itu PAS mungkin perlu menarik diri dari sebarang kerajaan pakatan," katanya lagi. 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.