Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memansuhkan sepenuhnya sistem penugasan pegawai dan anggota daripada tempoh 24 jam kepada 12 jam bermula tahun depan.
Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata langkah yang bakal dilaksanakan itu adalah relevan dan bertepatan dengan bebanan kerja yang dipikul.
Katanya pemendekan masa penugasan tersebut akan ditampung dan dibantu bomba bantuan serta pasukan sukarelawan bomba bagi membantu dan menampung tugasan anggota bomba tetap.
"Jika sebelum ini mereka bertugas 24 jam, kemudian rehat satu hari sebelum kembali bertugas. Katakan, jika satu hari terdapat tiga kes ia agak memenatkan dan secara tidak langsung kecergasan mereka juga terganggu.
"Kita mempunyai pasukan bomba bantuan dan bomba sukarela, jadi mereka akan bekerjasama dan membantu jika berlaku kebakaran, kemalangan dan sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sumbangan banjir kepada 119 pegawai dan anggota bomba dari Terengganu dan Pahang yang terjejas bencana alam itu pada tahun lalu.
Wan Mohd Nor berkata penugasan yang panjang itu juga membahayakan tahap keselamatan anggota untuk melakukan operasi dalam tempoh yang agak lama.
Menurutnya kebanyakan balai-balai bomba di seluruh negara telah mula menukar dan melaksanakan sistem penugasan ini bermula awal tahun lalu.
Beliau berkata bermula awal tahun hadapan, pihaknya menjangkakan sebanyak 277 balai di seluruh negara akan mengguna pakai sistem 12 jam itu.
"Di Terengganu hanya tinggal dua balai lagi yang belum mengubah sistem penugasan tersebut... dan kita cuba elak daripada waktu penugasan yang panjang. Oleh itu pada tahun depan kita akan hapuskan," katanya.
- Bernama
