mk-logo
Berita
Hadi: Harapan Baru tak akan lebih 2 tahun
Diterbitkan:  Jul 16, 2015 5:13 AM
Dikemaskini: 5:14 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak melihat parti Islam baru yang sedang ditubuhkan oleh bekas pemimpinnya akan mempunyai hayat panjang.

“Pengalaman kami, semua kumpulan serpihan ini tidak akan lebih daripada dua tahun,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Channel NewsAsia pada Selasa.

Sekumpulan pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti itu sebelum ini mengumumkan menggerakkan sebuah kumpalan dinamakan Gerakan Harapan Baru Baru.

Ia antaranya bertujuan merintis usaha penubuhan parti Islam baru yang lebih terbuka serta membentuk gabungan pembangkang Pakatan Rakyat 2.0.

Pakatan Rakyat kini berpecah susulan pertelingkahan berterusan PAS-DAP, terutamanya dalam isu hudud.

Muktamar PAS sebelum ini membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, sebuah parti berasaskan fahaman sekular.

Hadi bagaimanapun tidak melihat gerakan baru itu sebagai ancaman.

Katanya, berdasarkan sokongan dalam pemilihan lalu, mereka cuma disokong oleh 20 peratus perwakilan.

“Mereka telah ditolak oleh parti dan akan juga hilang sokongan rakyat,” kata Hadi.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS