Perusahaan membuat bot dan kapal layar di Pulau Duyong sejak seabad lalu bakal berkubur apabila tidak menerima sebarang tempahan sejak lima tahun lepas.
Pembuat bot dan kapal layar terkenal di pulau itu Abdullah Muda, 78, berkata pada tahun 70-an dan 80-an, terdapat beberapa bengkel membuat bot dan kapal layar di pulau itu, namun kini hanya tinggal kenangan.
"Pada pendapat saya, faktor utama berkuburnya perusahaan itu adalah disebabkan peningkatan harga bahan mentah iaitu kayu cengal yang meningkat berlipat kali ganda.
"Semasa saya mula terbabit dalam membuat bot pada tahun 50-an, harga kayu cengal sekitar RM300 bagi satu tan dan ia meningkat dari semasa ke semasa hinggalah kemuncaknya sekarang berharga RM16,000 bagi satu tan," katanya kepada Bernama ketika mengunjungi kediamannya di pulau itu hari ini.
Beliau yang sinonim dengan panggilan Haji Lah berkata sebelum ini ada agensi kerajaan iaitu Giat Mara yang cuba menyelamatkan perusaahan itu daripada lenyap begitu sahaja dengan merakam cara-cara membuat bot dan kapal layar supaya ia dapat bertahan untuk generasi akan datang.
Selain itu Abdullah berkata Giat Mara turut menghantar 10 pelatih bagi mempelajari cara-cara membuat bot dan kapal layar di bawah bimbingannya.
Turut sama menghantar pelatih ialah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan harapan perusahaan itu dapat diwarisi oleh generasi baru, katanya.
Namun katanya setelah kapal layar terakhir dilancarkan pada 2010, maka berakhirlah episod perusahaan turun-temurun di pulau yang menjadi nadi perusahaan bot dan kapal layar terkenal di Terengganu.
Katanya sepanjang kira-kira 60 tahun beliau berkecimpung membuat bot dan kapal layar dengan dibantu antara enam dan tujuh tukang bot mahir, beliau berjaya menyiapkan beratus bot dan kapal mewah.
Abdullah berkata beliau bermula dengan membuat bot penambang kemudian bot untuk nelayan pada tahun 60-an semasa kayu cengal masih murah.
Beliau berkata ketika perusahaan itu sedang memuncak, pelanggannya terdiri daripada peminat bot dan kapal layar serata dunia seperti Amerika Syarikat, Alaska, England, Itali, Perancis, Denmark, Australia, New Zealand, Algeria, Kanada dan Singapura, selain pelanggan tempatan.
Abdullah berkata sepanjang berkecimpung dalam perusahaan itu, beliau pernah menerima tempahan membuat kapal layar paling mahal bernilai kira-kira USD1 juta yang ditempah oleh pelanggannya dari England.
"Saya hanya mengambil upah membinanya sahaja, manakala enjin, badan kapal layar serta peralatan lain disediakan sendiri oleh tuan punya kapal berkenaan," kata penerima Anugerah Tokoh Seni Negeri Terengganu 2005 itu.
-Bernama
