Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gagal temui Justo, polis rujuk Peguam Negara

Polis akan merujuk Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan akses merakam kenyataan bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo, berkaitan isu 1MDB, yang kini ditahan di Thailand.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau dimaklumkan oleh rakan sejawatnya Jen Somyot Poopanmoung bahawa tiada temu bual boleh dilakukan sehingga warga Switzerland itu didakwa di mahkamah Thailand.

Katanya antara sebab yang diberikan ialah Justo belum didakwa di mahkamah dan sekiranya temu bual dibenarkan, ia boleh mengganggu proses pertuduhan.

"Justo seorang warga Switzerland dan kesalahan dia dilakukan di Thailand. Sebab itu tidak mudah untuk menyoal siasat dia. Dalam kes ini kita memerlukan peruntukan undang-undang untuk menemu bual Justo.

"Kerajaan Switzerland turut membangkitkan perhatian terhadap rakyatnya ... jadi pihak berkuasa Thai juga perlu berhati-hati dalam aspek ini," katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang hari ini.

Khalid berkata pihak berkuasa Thai memerlukan sedikit masa bagi melengkapkan siasatan termasuk merujuk aspek undang-undang, antaranya bagi melihat kemungkinan polis dibenarkan menemu bual Justo.

"Jadi, kita juga akan berbincang dengan Peguam Negara terutamanya dalam aspek perundangan bagi mendapatkan akses bertemu Justo sekiranya usaha polis dengan polis tidak berjaya," katanya.

Berhubung pertemuannya dengan Somyot, Khalid berkata rakan sejawatnya itu memberikan kerjasama penuh dengan berkongsi maklumat tertentu bagi membantu polis Malaysia merancang siasatan di negara ini.

Mengenai laporan The Straits Times Singapura yang dikatakan berjaya menemu bual Justo di Thailand , Khalid berkata beliau tidak pasti bagaimana perkara itu dilakukan.

"Saya diberitahu tiada pihak dibenarkan merakam percakapan Jusco tetapi saya tak pasti sama ada arahan itu turut melibatkan media," katanya.

Justo ditahan pihak berkuasa Thailand pada 22 Jun lalu atas tuduhan cuba memeras ugut bekas majikannya sehingga 2.5 juta Swiss Franc (RM10 juta) dan mengancam akan mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya daripada syarikat jika tuntutannya tidak dipenuhi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS