Syarat jual beli cecair asid perlu diperketatkan bagi menyekat bahan itu daripada digunakan bagi maksud perbuatan jenayah, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Beliau berkata langkah perlu dibuat untuk turut merekod butiran peribadi pembelinya.
"Selain dibuat sendiri, asid mudah diperoleh di pasaran tanpa penjualnya mempersoalkan tujuan penggunaannya.
"Kalau kita tetapkan pendaftaran dan pengambilan butiran pembelinya, sekurang-kurangnya ia dapat membendung keinginan penjenayah menggunakannya untuk melakukan jenayah," katanya kepada Bernama.
Beliau diminta mengulas mengenai kejadian lima individu yang melecur dan terpaksa dirawat di hospital akibat disimbah asid yang dipercayai cuka getah di Kuala Kedah, Kedah dua hari lalu.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman yang menyokong cadangan pendaftaran pembelian asid berkata ia akan memudahkan siasatan pihak berkuasa sekiranya bahan itu digunakan untuk tujuan jenayah.
"Dengan cara ini, penjenayahnya boleh dikesan dengan lebih mudah," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar asid dikategorikan sebagai bahan racun terkawal seperti ubat-ubatan tertentu lain.
"Pihak berwajib seharusnya mengasingkan jenis asid berbahaya dan tidak berbahaya serta menentukan sama ada ia boleh dijual secara terbuka atau terkawal," katanya.
Naib Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM), Dr Lee Nan Sang pula menyarankan agar kerajaan turut mempertimbang untuk mengurangkan tahap keasidan dalam bahan keperluan harian seperti cecair pencuci.
"Biasanya asid yang mudarat mempunyai tahap keasidan yang tinggi dan jika bahan itu mahu dijual, ia harus dinilai terlebih dahulu bagi memastikan ia selamat digunakan," katanya.
- Bernama
