BERITA

Siapa peguam negara baru Mohamed Apandi?

Hafiz Yatim

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Jul 2015, 6:53 pagi

Peguam negara yang baru dilantik, Tan Sri Mohamad Apandi Ali, 65, merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan pernah berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) di Terengganu dan Kelantan pada tahun 1977 hingga 1990.

Pelantikan itu menjadikan beliau sebagai peguam negara kesembilan selepas Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mohamed Apandi merupakan graduan lulusan bidang perundangan di University of London, Iner Temple London serta di Institute of Advanced Ligel Studies, London.

Sebaik tamat pengajian, beliau pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai majistret dari tahun 1973 hingga 1975.

Di samping memegang jawatan kerjaya perundangan, beliau juga pernah dilantik sebagai pengarah biro perundangan bantuan guaman di Kota Bharu pada 1980.

Selain itu, beliau juga merupakan penasihat undang-undang kepada Kementerian Perdagangan dan Industri pada 1980 dan 1982. Selepas itu beliau membuka firma guaman sendiri dari 1982 hingga 2003.

Mohamed Apandi kemudiannya memasuki perkhidmatan kehakiman selepas dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada tahun 2003 dan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 2007 yang berkhidmat di Kuala Lumpur.

Selepas itu, beliau menjawat jawatan sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010 dan pada 30 September 2013 dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan.

Ketika di Mahkamah Rayuan, beliau mengetuai tiga panel mendengar isu penggunaan kalimah Allah yang disiarkan oleh penerbitan Roman Katolik, The Herald.

Selain itu, beliau juga mengetuai panel hakim dalam kes pembebasan Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Jawatan dalam Umno

Dalam bidang politik, Mohamed Apandi merupakan bekas bendahari Umno Kelantan.

Disebabkan penglibatan beliau dalam Umno sebelum dilantik menjadi hakim, banyak pihak termasuk bekas ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memohon supaya beliau tidak terlibat sebagai panel untuk mendengar kes mereka.

Sementara di Mahkamah Persekutuan, Mohamed Apandi merupakan panel hakim yang mendengar kes hak penjagaan anak yang kontroversi antara S Deepa dan N Viran atau Izwan Abdullah.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.