BERITA

Umi Hafilda: Saya malu jadi ahli Umno

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Jul 2015, 2:03 tengahari

Saksi kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Umi Hafilda Ali mengumumkan keluar Umno kerana tidak puas hati dengan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.

Beliau malah mengumumkan perkara itu kepada media di rumah Muhyiddin di Bukit Damansara hari ini, yang menyaksikan penyokongnya mula berkumpul.

"Atas apa yang berlaku terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, saya Umi Hafilda Ali yang pernah menjadi saksi pertama kepada kerajaan dalam kes Anwar Ibrahim mengisytiharkan saya keluar dari Umno.

"Saya keluar dari Umno hari ini. Saya malu, saya malu menjadi ahli Umno,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan kediaman Muhyiddin.

Sebaliknya Umi berkata beliau bangga menjadi rakyat yang berani menegakkan kebenaran dan meminta rakyat Malaysia lain turut bangun.

"Saya malu mengaku saya ahli Umno kerana apabila kebenaran itu ditentang dengan cara yang kotor sebegini. Saya malu menjadi ahli Umno," katanya.

Tanda kejatuhan

Mengulas apakah Muhyiddin juga akan bertindak keluar Umno, Umi berkata beliau tidak berhak untuk bercakap bagi pihak beliau.

"Itu hak dia (keluar parti), saya tak boleh bercakap bagi pihak dia (Muhyiddin).

"Jiwa dia masih dengan Umno, dia masih timbalan presiden Umno dan kalau orang jemput  dia masih akan hadir," ujarnya.

Dalam pada itu Umi yang juga adik kepada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menegaskan bahawa Umno akan berkubur dengan pemecatan Muhyiddin hari ini.

"Bagi saya pemecatan Muhyiddin hari ini adalah tanda-tanda akan jatuhnya kepimpinan yang ada hari ini.

"Pemecatan Muhyiddin hari ini menunjukkan... maaf cakap, ini apa yang saya rasakan akan berkuburnya Umno selepas 16 tahun.

"Kalau kamu sebagai pemimpin tidak sensitif dengan apa yang berlaku dan tidak mendengar suara rakyat kamu akan hancur," tegasnya.

Luahan isu hati

Ujar Umi, jika suara orang nombor dua negara pun tidak didengar bagaimana pula dengan keluhan rakyat hari ini.

"Kalau orang nombor dua bercakap pun tidak diterima apatah lagi rakyat," katanya.

Ditanya bagaimana keadaan ahli Parlimen Pagoh itu, Umi berkata beliau begitu tenang dan reda dengan apa yang berlaku.

"Dalam mesyuarat tadi beliau kelihatan tenang dan beliau cakap dia dah buat yang terbaik, Muhyiddin juga sudah berjumpa dengan Najib dan meluahkan segala rasa hatinya," tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pemecatan Muhyiddin sebagai timbalannya, yang dispekulasi susulan berbeza pendirian berhubung kontroversi 1MDB.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.