mk-logo
Berita
Ku Nan: Beri kepercayaan penuh pada Najib
Diterbitkan:  Jul 28, 2015 1:39 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Semua ahli Umno diminta memberi sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan rombakan kabinet hari ini.

   

Dalam membuat gesaan itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut meminta barisan kepimpinan Umno di peringkat negeri, bahagian, cawangan serta anggota akar umbi supaya bertenang.

"Sewajarnya keputusan beliau melakukan rombakan kabinet tidak harus dipersoalkan sebagaimana hak beliau yang memegang amanah dalam memastikan barisan jemaah menteri kukuh dalam menghadapi cabaran mengurus tadbir negara," kata Tengku Adnan dalam kenyataan hari ini.

Beliau menekankan pentingnya semua ahli Umno terus bersatu padu, memperteguh muafakat dan memperkukuh tekad dalam memastikan parti terus teguh dan bersama mempertahan kesejahteraan negara.

Tengku Adnan, yang dikekalkan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dalam rombakan kabinet itu, turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri selain semua anggota kabinet yang baharu dilantik. Pelantikan itu berkuat kuasa esok.

Ahmad Zahid menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri yang digugurkan daripada senarai barisan kabinet baharu yang diumumkan Najib di Putrajaya.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menerajui kepimpinan selaku Timbalan Perdana Menteri sebelum ini," kata Najib.

Ucapan serupa turut beliau panjangkan kepada dua lagi menteri mewakili Umno - Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah  dan Datuk Seri Hasan Malek yang sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan - yang turut digugurkan daripada barisan kabinet baru itu.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS