Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penasihat JASA: Akaun peribadi rahsia peribadi
Diterbitkan:  Jul 30, 2015 9:30 AM
Dikemaskini: 4:57 AM

Apa yang masuk ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Abdul Razak bukan urusan bekas Timbalan Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz.

Ini selepas didedahkan dalam satu klip video bocor bahawa Muhyiddin telah bersemuka dengan Najib tentang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

"Duit yang masuk ke dalam akaun peribadi, itu hak dan rahsia peribadi individu yang tidak perlu diisytiharkan kepada orang ramai.

"Sama seperti duit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi kita," kata Tun Faisal (gambar) dalam satu posting blog hari ini.

Bekas exco Pemuda Umno itu berkata lainlah jika ada dakwaan bahawa duit itu datang dari sumber yang salah.

"Barulah seseorang itu perlu membuat perisytiharan, tetapi bukan kepada umum. Dia hanya perlu buat perisytiharan kepada pihak berkuasa yang membuat siasatan," katanya lagi.

Dalam rakaman video itu, Muhyiddin berkata, Najib mengaku wang itu masuk ke dalam akaunnya dan ia datang dari Timur Tengah.

"Apabila ada pihak yang hendak masukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi seseorang sebagai bantuan dana politik, itu adalah bantuan dana politik kepada individu tersebut.

"Terserahlah bagaimana dia hendak menggunakannya asalkan tidak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang sebab itu dana politik peribadinya.

"Sama ada dia hendak menggunakannya untuk membantu orang, hendak diberikan kepada jentera atau apa saja, itu adalah hak beliau," kata Tun Faisal,

Tambahan pula, katanya, tidak ada bukti bahawa wang yang diterima oleh Najib itu datang daripada dana negara.

"Dalam kes akaun peribadi Najib Razak, duit dikatakan datang dari sumber 1MDB dan hasil pelaburan usaha sama dengan Petrosaudi.

"Dalam hal ini, penyiasat boleh merujuk penyata akaun dan dokumen daripada 1MDB dan Petrosaudi, sama ada benar duit dari sumber ini masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak atau tidak.

"Setakat ini penyata kewangan beraudit 1MDB dan Petrosaudi tidak menunjukkan duit itu datang daripada mereka," kata Tun Faisal.

Beliau menambah bahawa ia adalah hak mereka yang mahu memberi bantuan.

"Sesiapa sahaja boleh menyumbang wang untuk membantu Najib dan parti.

"Jika mereka mahu ia digunakan untuk membantu parti, mereka akan dimasukkan ke dalam akaun parti atau organisasi yang berkaitan parti.

"Tetapi jika mereka mahu membantu individu yang bernama Najib Razak, itu hak mereka yang membuat pilihan tersebut," tambahnya.

[Baca berita penuh/asal]

 
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS