mk-logo
Berita
Jabatan AG nafi 'kertas pertuduhan' terhadap PM
Diterbitkan:  Jul 30, 2015 2:00 PM
Dikemaskini: Jul 31, 2015 1:23 AM

Jabatan Peguam Negara telah menafikan membuat atau mengeluarkan apa yang didakwa kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ketua bahagian pendakwaan, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, melalui twitter, berkata d raf kertas pertuduhan yang diterbitkan oleh Sarawak Report tidak dibuat atau dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Sebelum itu, Peguam Negara (AG) yang baru dilantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai laporan itu, jadi saya tidak boleh komen, okay?" katanya kepada Malaysiakini .

Ditanya sama ada beliau menganggap ini satu perkara yang serius, beliau menjawab: "Saya tidak tahu, bukan untuk saya komen."

Menjawab satu lagi soalan sama ada beliau akan meneliti perkara itu, Apandi, yang memegang jawatan peguam negara sejak hari Isnin, berkata: "Saya penat sangat. Jadi boleh saya berehat? Terima kasih."

Beberapa orang, seperti ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya dan peguam Lawyers for Liberty, Michelle Yesudas, telah tweet dokumen yang muncul di Sarawak Report.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, melalui twitter, meminta orang ramai menghentikan sebarang penyebaran khabar angin.

Sementara itu, pengarah komunikasi strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan menulis sebarang tweet:  "Claire Brown and charge sheet? Yawnnnnnn..... Zzzzz."

Ini merujuk kepada editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Selain Najib, kertas tuduhan itu menamakan seorang bekas pengarah urusan yang ditahan oleh pasukan petugas khas 1MDB dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan, dan Nik Faisal Ariff Nik Othman Kamil.

Pasukan petugas itu masih dalam proses mengesan Nik Faisal yang juga pengarah urusan bekas anak syarikat 1MDB - SRC International.

Berikutan penamatan secara tiba-tiba perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara, wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, yang rapat dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah bertanya di blognya sama ada ini kerana beliau (Gani) di ambang mendakwa individu tertentu.

Apabila berita tersebar bahawa perkhidmatan Abdul Gani telah ditamatkan kerana masalah kesihatan, bekas AG itu sendiri nampaknya tidak tahu menahu mengenainya.

Bagaimanapun, Abdul Gani enggan mengulas sama ada ianya ada kaitan dengan siasatan pasukan petugas khas.

Walaupun membuat beberapa percubaan, Malaysiakini tidak dapat menghubungi Abdul Gani untuk mendapatkan komen beliau mengenai dakwaan berhubung draf kertas pertuduhan itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang telah melihat draf kertas pertuduhan itu, berkata ia mengandungi tuduhan yang paling serius terhadap perdana menteri.

Manakala pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga menggesa kerajaan untuk menjelaskan isu kertas pertuduhan itu.

"Hakikatnya adalah khabar angin telah tersebar sejak beberapa hari bahawa tindakan akan diambil terhadap pihak berkuasa paling tinggi yang terlibat dalam siasatan 1MDB itu.

"Dengan apa yang dipanggil sebagai eksklusif dari Sarawak Report ini, AG (baru) dan PM mesti tampil menjawabnya," katanya kepada Malaysiakini.

Perdana menteri telah menafikan menggunakan dana awam untuk tujuan peribadi.

[Baca berita penuh/asal]

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS