Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

SPRM solat hajat mohon keselamatan, kekuatan

Shakira Buang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Berdepan dengan 'dugaan' semasa warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini buat julung kali mengadakan solat hajat diimami timbalan ketua pesuruhjayanya, Datuk Seri Zakaria Jaffar.

Antara lain solat hajat itu diadakan bagi memohon kepada Allah supaya mereka diberi kekuatan untuk "melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin".

“Kami memohon kepada-Mu ya Allah  berilah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baik mungkin.

“Jauhilah kami dari perbuatan mungkar, berilah kekuatan kepada pejuang-pejuang rasuah ini supaya mereka dapat menyelamatkan diri dan keluarga mereka, organisasi, masyarakat terutamanya negara yang kami kasihi ini daripada dicerobohi perbuatan orang yang mengamalkan rasuah,” katanya ( gambar ) membacakan doa selepas solat hajat Untukmu SPRM di Putrajaya sebentar tadi.

Majlis itu diadakan selepas solat Zuhur di bangunan SPRM itu disertai kira-kira 100 kakitangannya.

 

Mengulas lanjut tujuan solat hajat berkenaan, Zakaria berkata ia adalah amalan biasa bagi mereka namun pertemuan petang ini dibuat bagi memperbaiki kelemahan yang ada pada pegawainya.

Nak halang orang masuk neraka

“Sebenarnya kita buat secara berterusan secara individu tapi petang ini kita berjumpa dengan pegawai-pegawai SPRM untuk tengok dan perbetulkan (kesilapan) kita supaya Allah sentiasa memberi kebaikan,” ujarnya.

 

Mengakui tugas mencegah gejala rasuah sebagai besar dan berat, Zakaria berkata mereka berharap Tuhan memberikan anggota agensi itu kekuatan untuk melaksanakan tugas mulia berkenaan.

 

“Rasulullah kata memberi dan menerima rasuah akan masuk neraka. Jadi, (kami) nak cegah orang masuk neraka ini satu pekerjaan yang berat dan besar.

 

“Kita kena minta tolong daripada Allah supaya menunjuk jalan serta membantu kita melaksanakan tugas," katanya.

 

Polis semalam mengambil keterangan dari seorang lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Roslan Tuan Mat berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan terhadap kebocoran dokumen sulit kerajaan.

Roslan adalah pegawai SPRM keempat yang disoal siasat berhubung kebocoran dokumen dalam siasatan membabitkan agensi milik kerajaan, 1MDB.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazalee Abdul Khairi ditahan pada pagi Sabtu dan disoal siasat lebih dua jam.

Sebelum itu, polis mengambil keterangan daripada Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Forensik SPRM IG Chandran, masing-masing selama tiga jam.

Polis setakat ini tidak memperincikan mengapa mereka menyoalsiasat para pegawai tersebut, tetapi difahamkan keempat-empat mereka terlibat dalam siasatan SPRM terhadap SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan 1MDB.