Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Kami siasat, bukan tangkap
Diterbitkan:  Aug 5, 2015 7:00 PM
Dikemaskini: Aug 6, 2015 4:45 AM

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan pihak mereka.

Sebaliknya, katanya kepada Malaysiakini , polis hanya merakamkan kenyataan mereka.

Sumber sebelum ini mendakwa polis menahan dua anggota SPRM termasuk pegawai yang menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

"Mereka baru sahaja ditahan sebentar tadi,” kata sumber yang tidak mahu namanya dinyatakan.

Beliau mendakwa individu yang ditahan itu termasuk seorang pengarah operasi khas SPRM, Roslan Che Amat.

Roslan telah disiasat polis pada hari Isnin lalu.

Dalam operasi sama, polis turut menyerbu pejabat bahagian operasi khas suruhanjaya itu.

Polis menjalankan siasatan itu mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kegiatan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Selain Roslan dan pegawai penyiasat tersebut, polis setakat ini menyiasat lima lagi pegawai SPRM dalam operasi yang bermula awal pagi Sabtu lalu dengan penahanan timbalan pendakwa raya suruhanjaya itu, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Ia diikuti dengan siasatan ke atas Roslan dan dua lagi pegawai pada hari Isnin, pengarah operasi khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan pengarah forensik IG Chandran.

Kesemua penahanan itu dibuat ketika ketua pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sedang bercuti.

Bagaimanapun, kata Bahri, Shukir tetap memantau perkara itu dan berhubung dari masa ke semasa.

Bahri: Polis ganggu siasatan SPRM

Sementara itu, Bahri dalam perkembangan terbaru berkata sama ada polis menahan atau tidak anggota mereka, ia jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tahan ke tak tahan ke, itu dah ganggu kerja kami. (Ia) jelas melanggar Seksyen 48 Akta SPRM.

“Apa yang mereka lakukan adalah mengganggu siasatan kami,” katanya.

Lihat Komen
ADS