NGO: S'jaya Harmoni boleh cetus kekacauan
Gabungan NGO Islam, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) bimbang jika penubuhan Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional akan menimbulkan keadaan kacau bilau dalam negara.
Jurucakap MAIM, Amiruddin Yahya secara khusus membangkitkan peruntukan dalam rang undang-undang penubuhan suruhanjaya terbabit yang didakwanya memberikan kuasa lebih besar berbanding pihak berkuasa agama.
Amiruddin berkata, perkara itu akan melanggar bidang kuasa Majlis Raja-raja dan akan meletakkan status agama Islam setaraf dengan agama lain.
Oleh itu, ia bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.
"Akta ini jika diluluskan akan menimbulkan kacau bilau di kalangan rakyat kerana ia berkuasa memanggil mufti dan pegawai majlis agama dalam perkara seperti murtad dan masalah antara penganut agama Islam dan bukan Islam dan membuat keputusan muktamad.
"Segala peruntukan dalam rang undang-undang ini perlu dikaji dan dibincangkan dengan NGO Islam kerana implikasi jangka panjang terhadap hubungan kaum di negara ini," katanya yang juga timbalan presiden Ikatan Muslim Malaysia (ISMA).
Beliau kecewa kecewa kerana gabungan lebih 100 NGO Islam itu tidak dapat mengambil bahagian dalam perbincangan ke atas rang undang-undang tersebut.
"Boleh dikatakan, NGO Islam diketepikan dalam membincangkan perkara ini. Kita pun tak tahu siapa NGO Islam yang dipanggil untuk perbincangan tersebut, katanya lagi.
Ujarnya lagi selaku umat yang cintakan keamanan dan keharmonian serta hubungan kaum dan pelbagai agama, segala rang undang-undang yang hendak dikemuka perlukan perbincangan bersama.
Rang undang-undang itu dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen seterusnya pada Oktober.
Ia merupakan salah satu daripada tiga rang undang-undang yang dicadangkan untuk menggantikan Akta Hasutan 1948.
Dua lagi cadangan undang-undang yang sedang dirangka ialah Rang Undang-Undang Jenayah Kebencian Agama dan Kaum dan Rang Undang-Undang Rekonsiliasi dan Keharmonian Nasional.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.