Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan: Persempadanan semula S'wak sah

Mahkamah Rayuan Putrajaya  hari ini sebulat suara membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan amalan persempadanan semula mereka baru-baru ini sebagai tidak sah dan terbatal.

Berikutan itu, mahkamah tersebut mengumumkan bahawa persempadanan semula dan notis yang dikeluarkan, adalah sah.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh, yang mengetuai panel hakim, dalam penghakimannya berkata SPR telah mematuhinya dalam memberi notis tersebut.

Panel hakim sebulat suara membenarkan rayuan SPR untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membatalkan notis itu.

Hakim Abdul Rahman Sebli yang membaca penghakiman itu berkata rayuan itu dibenarkan dan rayuan balas ditolak. Hakim ketiga dalam panel itu ialah Hakim Datuk Idrus Harun.

ADUN Batu Lintang, Lihat Chew How, salah seorang responden yang memfailkan semakan kehakiman, telah mengadu bahawa bahagian-bahagian tertentu kawasan pilihan rayanya telah termasuk ke dalam kawasan Parlimen lain, iaitu Kuching dari Stampin ekoran persempadanan semula itu.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak itu menyaksikan tambahan 11 kerusi negeri kepada 71 yang sedia ada menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 82. Pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan menjelang pertengahan tahun depan.

Hakim Abdul Rahman dalam penghakiman 49 muka surat itu berkata apabila SPR mengeluarkan notis, ia telah menerima 64 bantahan daripada pengundi dan inkuiri pertama telah diadakan pada bulan Mei 2015.

Beliau berkata responden tidak memfailkan bantahan tetapi memfailkan semakan kehakiman. [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Abdul Rahman yang menyampaikan keputusan itu, memutuskan notis berkenaan mematuhi Seksyen 4 (a) Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata SPR telah memberikan butiran yang dikehendaki dalam notis,  dan suruhanjaya itu tidak terikat untuk mendedahkan butiran lanjut seperti apa yang telah didedahkan.

Beliau berkata adalah fakta yang salah bagi Mahkamah Tinggi untuk mengatakan butiran lanjut mengenai cadangan itu tidak didedahkan oleh SPR.

Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan balas yang dikemukakan oleh See dan seorang pengundi di Ulu Baram, Pauls Baya memohon bagi variasi keputusan Mahkamah Tinggi, yang diputuskan pada 15 Mei lepas.

Pada 15 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuching mengisytiharkan notis SPR mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu mempunyai butiran yang terhad, dan mengarahkan SPR mengeluarkan semula notis tersebut.

   

Pada 25 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie mengeluarkan arahan tambahan mengisytiharkan notis SPR mengenai cadangannya bagi persempadanan semula adalah batal dan tak sah selepas memutuskan notis itu tidak mematuhi Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh See dan Pauls.   

   

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata tiada persoalan bahawa SPR telah bertindak dengan niat jahat untuk menyekat maklumat.

Beliau berkata berdasarkan Seksyen 5 (b) Jadual ke-13 menetapkan prosedur siasatan yang merupakan forum yang betul untuk responden membantah cadangan SPR itu dan bukan mencabarnya di mahkamah.

Abdul Rahman berkata jika mahkamah membuat keputusan bagi cadangan itu, ia akan merampas kuasa SPR yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan prosedur Seksyen 4 (a) yang dibaca dengan Seksyen 5 (b) Jadual ke-13 ada memperuntukkan mekanisme yang berkesan yang membolehkan pengundi berdaftar boleh membincangkan kebimbangan mereka dan menentang cadangan itu serta membuat cadangan balas," katanya.

Hakim Abdul Rahman berkata terdapat perbezaan antara keperluan untuk menyatakan kesan syor cadangan dan keperluan untuk mendedahkan butiran cadangan, dan menambah kegagalan untuk memahami perbezaan itu boleh membawa kepada salah faham yang serius mengenai undang-undang.

Beliau berkata berdasarkan pemilihan peruntukan Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 4 (a) Jadual Ke-13, tidak memberi apa-apa makna dan tidak lagi berguna prosedur siasatan itu.

Abdul Rahman berkata mahkamah tidak mendapati hak pengundi untuk representasi akan terjejas dengan kegagalan SPR menyatakan butiran terperinci seperti yang dinyatakan oleh hakim Mahkamah Tinggi.

"Dakwaan responden bahawa hak mereka untuk membuat representasi telah gagal, adalah bukti yang tidak disokong. Dakwaan itu semata-mata berdasarkan kepercayaan mereka," katanya.

Peguam responden, Datuk Dr Cyrus Das memaklumkan kepada mahkamah mereka akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan kerana ia adalah suatu perkara yang penting.

 

Lihat Komen
ADS