Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia-Brunei muktamad isu teroka minyak di lokasi bertindih
Diterbitkan:  Aug 11, 2015 7:10 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Malaysia dan Brunei hari ini memuktamadkan beberapa perkara berkaitan penerokaan minyak dan gas di kawasan yang berlaku pertindihan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata perkara berkenaan 'government take' (hasil yang diterima kerajaan daripada pengeluaran) bagi Brunei dan beberapa aspek teknikal merupakan antara yang dibincangkan beliau dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei kali ke-19, di Istana Nurul Iman, di Bandar Seri Begawan.

"Berkenaan 'Exchange of Letters' (Pertukaran Surat), perjanjian yang ditandatangani pada 2009, beberapa aspek interpretasi perjanjian itu dapat kita muktamadkan. Antaranya definisi "government take" bagi Brunei sebanyak 15 peratus.

"Interpretasi itu kita putuskan bersama, dan juga aspek-aspek teknikal yang lain. Dalam erti kata, kalau jumpa minyak dan gas dalam kawasan terlibat iaitu Blok CA1/CA2, maka tidak ada masalah dalam soal pembahagian antara Malaysia dan Brunei," katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan beliau ke Brunei, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini.

Najib berkata Exchange of Letters telah menyelesaikan isu kawasan pertindihan di CA1 dan CA2 manakala hari ini adalah keputusan bagi interpretasi kandungan perjanjian itu.

"Ia berasaskan Exchange of Letters di kawasan yang ditandakan oleh CA1 dan CA2. Inilah kawasan yang diteroka," katanya.

Syarikat petroleum nasional Malaysia, Petronas dan Petroleum BRUNEI telah memeterai Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) bagi Blok CA1 dan Blok CA2 pada 2010.

Mengenai pelaburan, Najib berkata, kerajaan Brunei sedang melihat kemungkinan untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak dalam bidang penjanaan kuasa elektrik, hidroelektrik, pertanian dan makanan halal.

"Kita juga akan tingkatkan kerjasama dalam soal pelancongan. Ia akan diperluaskan untuk mempromosikan Brunei dan Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak," katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 11 projek di Brunei bernilai RM1.8 bilion telah ditawarkan kepada syarikat Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS