BERITA

'Umno umpama terbang sebelah sayap'

Anne Muhammad

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Ogs 2015, 3:04 pagi

Perwakilan Wanita Umno Bahagian Langkawi Anina Saaduddin membayangkan Umno umpama terbang sebelah sayap apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Shafie Apdal digugurkan dari kabinet bulan lalu.

“Apabila tengkuk dan bahu iaitu timbalan presiden (Muhyiddin), dan naib presiden (Shafie) dicantas, maknanya Umno terbang sebelah sayap," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sebab Najib mengambil tindakan sedemikian, Aina berkata: "Sebab Najib nak pertahankan jawatan dia".

Beliau mendakwa, secara peribadi tindakan Najib melucutkan jawatan Muhyidin sebagai salahguna amanah rakyat, amanah ahli Umno, kepercayaan secara politik.

“Keputusan itu tidak menggembirakan tiga juta ahli Umno yang dia (Najib) dakwa di belakang dia," tegas Anina lagi.

Dalam mesyuarat bahagian itu Sabtu lalu, keadaan menjadi gamat apabila Anina memberikan ucapan keras terhadap Najib.

Rakaman video memaparkan ucapan Anina itu turut tersebar luas di alam maya.

Menurut Anina lagi, tindakan Najib merombak kabinet dan pemindahan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengejutkan rakyat dan "menakutkan tiga juta ahli Umno yang berada di belakangnya".

Aina merujuk kepada kes pemindahan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob ditukar ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) Jumaat lalu.

Bagaimanapun, setelah bantahan keras daripada SPRM, perpindahan mereka ke JPM dibatalkan pada hari Isnin.

Mengulas lanjut, Aina berkata ramai orang sayang Umno dan "saya bercakap juga kerana saya sayangkan Umno".

"Cuma keyakinan rakyat terhakis kerana sikap pemimpin yang tidak telus, banyak benda yang tersembunyi, penerangan tidak dibuat dengan betul," katanya.

Menurutnya, tindakan terhadap SPRM itu dan tindakan drastik dalam kabinet telah mengejutkan rakyat dan mengejutkan tiga juta ahli Umno.

"Sudah tentu ahli Umno takut,” tegas Aina lagi.

Ditanya sama ada beliau tidak takut dilucutkan keahliannya dalam Umno atas kelantangannya itu, Aina berkata, beliau percaya parti itu tidak akan berbuat demikian.

Bagaimanapun, seandainya beliau dipecat, Aina menganggap tindakannya itu sebagai berbaloi kerana menyatakan kebenaran demi masa depan Malaysia.

“Ya (terima perlucutan keahlian kerana) saya penuh yakin (menegur Najib) kerana untuk menyelamatkan Umno, Malaysia," tegasnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.