Husam: Membalak langgar hasrat Tok Guru?
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa hari ini membangkitkan pelbagai perkara berkaitan kontroversi pembalakan Kelantan.
Bekas exco kanan kerajaan negeri itu antaranya membangkitkan dakwaan berlaku penebangan di luar kawasan serta berlaku perubahan sempadan daripada pelan kelulusan asal.
Beliau juga membangkitkan risiko rancangan asal yang menjadi hasrat ikon kerajaan Kelantan allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu kawasan Hutan Simpan Ulu Sat dikekalkan.
“Ini mungkin merosakkan pelan asal untuk menempatkan RnR (kawasan rehat dan rawat) berkenaan dalam teduhan pokok-pokok besar yang asal untuk tujuan rekreasi pengunjung.
“Saya pohon penjelasan adakah ini benar berlaku?
“Adakah tebangan habis akan dilakukan dan mengapa ia dilakukan? Mengapa cadangan asal atas hasrat Tok Guru (Nik Aziz) diubah?” katanya.
Husam menjelaskan daripada tiga blok Hutan Simpan Kekal Ulu Sat yang diluluskan kepada kontraktor, satu darinya untuk laluan lebuh raya dan dua lagi – blok A (65 hektar) dan blok B (10 hektar) – untuk RnR.
Husam membangkitkan perkara itu dalam suratnya kepada exco kerajaan negeri Datuk Hanipa Ahmad, yang dimuatkan kembali dalam Facebook beliau hari ini.
1,000 tan kayu disita
Hanipa juga pengerusi syarikat negeri yang telah didaftarkan sebagai kontraktor kawasan pembalakan yang diluluskan.
Husam berkata, walaupun dinafikan syarikat itu, beliau mendapati tiada usaha, kelulusan dan kegiatan lain pembalakan berdekatan.
“Dengan itu, mustahil pihak lain yang tidak berkaitan melakukan tebangan luar kawasan tanpa jentera dibawa masuk dan ubah sempadan boleh dilakukan,” katanya.
Beliau juga berkata difahamkan, Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK) telah menghentikan kerja pembalakan dan menyita kayu-kayu yang telah ditebang oleh kontraktor dengan lebih 1,000 tan kayu ditahan.
“Kejadian ini sangat mendukacitakan saya selaku salah seorang ADUN yang mendukung dasar (negeri) Membangun Bersama Islam. Sudah tentu kejadian ini mencemarkan penghayatan dasar ini
“Saya juga yakin, rakyat negeri ini merasa dukacita dengan kejadian ini,” katanya lagi dengan menambah kayu yang disita melebihi 1,000 tan (bernilai antara RM800,000 hingga RM1 juta).
Secara purata dianggarkan sebanyak 43 tan sehektar balak bagi kawasan itu.
“Ia satu jumlah yang agak banyak yang menunjukkan kawasan ini adalah kaya dan dengan itu, sewajarnya ia tidak diambil kesempatan lain selain tujuannya yang asal,” kata bekas naib presiden PAS itu.
Salinan surat itu juga dihantar kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan pihak media.
Pagi ini saya berpeluang melawat tapak Lebuh Raya Rakyat di Ulu Sat termasuk matau milik Baldah yang menempatkan...
Posted by Dato Haji Husam Musa on Wednesday, 12 August 2015
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.