Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarang Mingguan Malaysia , Ku Seman Ku Hussain berkata Utusan Malaysia bukan seperti akhbar lidah rasmi PAS, Harakah, yang menurutnya tidak boleh mengkritik pemimpin mereka.

Sebaliknya, katanya, Utusan itu sendiri bertindak sebagai sebuah organisasi surat khabar, malah memberinya kebebasan untuk mengkritik pemimpin.

“Saya dibagi kebebasan dari pengurusan dan saya percaya kebebasan itu dibagi oleh Umno untuk mengkritik sebab Utusan berbeza dengan Harakah.

Harakah sebagai lidah rasmi (PAS) dan Utusan sebagai organisasi surat khabar dan dia ( Utusan ) terpaksa bertindak sebagai surat khabar dan bukan lidah rasmi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini, Ku Seman melalui artikel "Derma RM2.6 bilion dan Integriti Umno" mempersoalkan integriti parti itu dalam menjelaskan perkara sebenar isu derma yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ekoran dari tersiarnya artikel itu, Utusan ditegur parti itu sendiri kerana lantang mempersoalkan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib sebagai dana politik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Keruak berkata Utusan tidak sepatutnya mempersoalkan lagi dana politik yang diterima Najib kerana ia sudah disahkan bukan rasuah oleh SPRM dan Najib.

Manakala Pengarah JASA, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, Ku Seman sepatutnya menjelaskan kepada pembaca tiada peraturan yang menghalang seseorang individu menggunakan akaun peribadi bagi tujuan dana politik.

Kata Puad, jika benar Najib mahu menggunakannya untuk kepentingan peribadi, beliau pasti menyimpannya di akaun peribadi di luar negara dan bukan dibawa balik ke Malaysia.

Ku Seman yang juga pengarang bahagian politik global akhbar itu berkata, sebagai media beliau mempunyai tanggungjawab menegur dan bertanya kepada pemimpin sekiranya ada perkara yang tidak jelas mengenai sesuatu isu.

“Sebagai orang media

, saya fikir boleh gunakan kuasa kita untuk menegur, itu satu teguran dan pertanyaan.

“Saya rasa artikel saya tidak ada unsur fitnah, artikel itu general yang tersiar dalam Mingguan Malaysia. Saya fikir bukan terlalu menghentam secara personal atau menuduh,” katanya.

Ku Seman ketika ditanya gentar atau tidak sekiranya ada tindakan diambil ke atasnya, berkata:

“Saya rasa tidak ada alasan untuk ambil tindakan sebab apa yang saya tulis itu sudah 'clean' dan tidak ada 'point' untuk Umno nak ambil tindakan ke  pada Utusan .

“Saya rasa bertanggungjawab mengutarakan isu bersikap rakyat. Saya rasa Umno kena matang menerima teguran dan kritikan dari dalam luar,” katanya.

 
 

 
 

 

Lihat Komen
ADS