Kekeliruan isu mohon maaf kes Khalid-Saifuddin

   

Kes saman bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim terhadap pengarah pilihan raya PKR Saifuddin Nasution selesai melalui penyelesaian luar mahkamah.

Bagaimanapun terdapat kekeliruan berhubung permohonan maaf.

PKR mendakwa penyelesaian itu dibuat setelah kedua-dua pihak saling memohon maaf.

Peguam Khalid, Edmund Bon pula berkata permohonan maaf Saifuddin tidak bersyarat manakala permohonan Khalid pula dibuat atas semangat Syawal, bulan orang Islam bermaaf-maafan.

Selepas penyelesaian di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan mendakwa penyelesaian dicapai seperti berikut:

(1) Khalid menarik balik saman.

(2) Saifuddin dan PKR memohon maaf kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

(3) Khalid memohon maaf kepada Saifuddin dan PKR.

Bon berkata kenyataan itu tidak tepat.

“Penghakiman persetujuan ( consent judgment ) tidak sama dengan menarik balik saman.

“Keduanya, Saifuddin jelas meminta maaf tanpa syarat terhadap tujuh kenyataan fitnah yang menjadi subjek saman Khalid.

“Ini termasuk isu Bank Islam, isu Eco-World, Kidex dan isu penstrukturan semula air Selangor,” katanya.

Beliau juga berkata Saifuddin berkata ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak akan mengulangi lagi.

“Khalid kemudian terima maaf itu dengan niat baik dan ambil peluang – kerana ini bulan Syawal – untuk mohon maaf jika dia mengguris perasaan sesiapa, termasuk Saifuddin dan anggota PKR,” kata Bon kepada Malaysiakini .

Bon berkata ini kali pertama PKR membuat permohonan maaf di mahkamah. Penyelesaian itu dibuat selepas perbincangan dua jam.

Saifuddin diwakili oleh William Leong yang juga anggota parlimen Selayang.

Kenyataan penerimaan maaf oleh plaintif itu turun dimuat naik di Internet dan diulang tweet oleh Bon.

Ia berbunyi:

"Saya Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, menerima mohon maaf ini daripada defendan-defendan iaitu Saifuddin Nasution Ismail dan Parti Keadilan Rakyat.

Dalam semangat bulan Syawal ini, saya juga mengambil kesempatan itu untuk memohon maaf zahir dan batin jika saya menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk Saifuddin Nasution bin Ismail dan ahli-ahli yang lain.”

[Baca berita asal]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda