mk-logo
Berita
Ismail: Siasat dalang gerakan guling k'jaan
Diterbitkan:  Aug 16, 2015 2:13 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri menggesa pihak berkuasa menyiasat dengan teliti dan telus tentang gerakan yang didakwa cuba menggulingkan kerajaan.

    

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata jika benar dakwaan itu, perbuatan mereka yang terlibat dengan gerakan itu bukan sahaja mengancam Umno malah keselamatan negara.

    

"Kalau apa yang disebut (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu benar, saya kira orang yang terlibat ini (iaitu anggota) dalam parti yang bersekongkol dengan pembangkang, ia perkara yang tidak boleh dimaafkan oleh parti.

    

"Apa yang dilakukan itu akan mengorbankan parti yang telah pun dipilih secara demokratik oleh rakyat pada pilihan raya. Ini suatu pengkhianatan kepada parti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jelutong di Georgetown semalam.

    

Beliau mengulas pendedahan Ahmad Zahid mengenai gerakan menggulingkan kerajaan yang didalangi pembangkang serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang semalam, Ahmad Zahid berkata rancangan itu dijalankan dengan cara mendapatkan akuan bersumpah daripada anggota parlimen pembangkang serta cuba menarik anggota parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.

    

Ismail Sabri berkata sebagai anggota Umno yang berikrar mempertahankan parti, mereka tidak seharusnya bersekongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan parti secara tidak demokratik.

    

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail Sabri meminta semua anggota Umno supaya bersatu menghadapi serangan media sosial dan mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti.

    

Di PASIR SALAK , Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta pemimpin dan anggota Umno supaya tidak terpengaruh atau dieksploitasi oleh pihak tertentu yang cuba menumbangkan parti dan kerajaan.

    

Beliau berkata cubaan itu akan gagal jika pemimpin dan anggota Umno bersatu mengukuhkan kembali perpaduan dan kekuatan parti.

    

"Cubaan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin adalah cara yang sangat tidak demokratik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri  Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pasir Salak di kediamannya di sini, hari ini.

    

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata anggota Umno perlu sentiasa mengutamakan kepentingan parti dan negara.

    

-Bernama

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini