Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tambatan ringgit untuk mengatasi kelemahan trend mata wang menggunakan rizab Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan satu langkah mahal bagi Malaysia, kata Standard & Poor's Ratings Services.

Pakar ekonominya bagi Asia Pasifik Vincent Conti berkata ekonomi global kini dalam persekitaran dolar yang kukuh dan keadaan ini akan bertahan beberapa ketika kerana Rizab Persekutuan AS dalam proses memulihkan dasar monetarinya.

"Ini bermakna mata wang pasaran baru muncul berkemungkinan menghadapi trend yang lemah dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Bagi Malaysia, Conti berkata, ini akan menjadi lebih buruk dengan harga komoditi yang rendah, memandangkan statusnya sebagai pengeksport bersih tenaga dan pembekal utama komoditi lain seperti minyak sawit.

"Bagaimanapun, kemerosotan ringgit Malaysia akibat perkembangan ini didorong oleh faktor-faktor asas.

"Oleh itu, adalah sangat mahal bagi bank pusat menggunakan rizabnya untuk menangani trend ini dengan tambatan mata wang," katanya kepada Bernama .

Pada Khamis, Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberitahu pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada kadar 4.9 peratus bagi suku kedua bahawa bank pusat tidak akan menambat atau memperkenalkan kawalan modal untuk membendung kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.

Selain itu, menurut Conti, dengan menggunakan rizab untuk mengukuhkan mata wang secara dibuat-buat akan menjejaskan daya saing Malaysia berbanding pasaran baru muncul dan pengeksport komoditi lain.

Mengenai pertumbuhan Malaysia, beliau berkata: "Kami telah menjangkakan kadar perlahan yang ketara tahun ini secara keseluruhan kepada 4.6 peratus.

"Oleh itu, 4.9 peratus bagi suku kedua tidak mengejutkan kami."

Beliau berkata kejatuhan harga komoditi muncul kembali dan akan terus menjejaskan perdagangan Malaysia, yang akan memperlahankan pertumbuhan pendapatan dan membawa kepada kelemahan pelaburan.

"Sektor eksport bukan komoditi akan bergelut untuk menyaksikan aktiviti yang berterusan memandangkan perdagangan global terus terbabit pada kadar yang lebih perlahan, manakala pertumbuhan penggunaan isi rumah akan diganggu oleh tahap hutang yang tinggi dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pada Selasa lepas, ringgit bersama-sama dengan mata wang Asia yang lain, termasuk dolar Singapura, baht, peso dan won Korea, rendah berbanding dolar AS berikutan perubahan mengejut dalam dasar pertukaran asing China yang menurunkan nilai mata wangnya yang dikawal ketat, renminbi.

Berikutan langkah itu, renminbi dalam negeri mengalami kerugian dalam satu hari yang terbesar dalam tempoh dua dekad.

Ringgit mengakhiri sesi dagangan semalam dengan kedudukan yang rendah berbanding dolar AS pada 4.1020/1110 berbanding dolar AS daripada 4.0750/0800 pada 5 petang pada Jumaat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS