Adnan temui pengerusi Lembaga Disiplin Umno

   

Menteri Besar Pahang Datuk Adnan Yaakob akan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen kemungkinan berkaitan dengan isu politik wang sewaktu pemilihan parti bulan lalu.

Bernama melaporkan, Adnan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno mengesahkan perkara tersebut dan menegaskan pertemuan tersebut dijadual diadakan Selasa depan.

"Saya telah dihubungi oleh pegawai Tan Sri menyatakan beliau ingin sangat berjumpa dengan saya untuk meminta pandangan. Mungkin juga ia berkaitan dengan kenyataan saya mengenai politik wang," katanya.

Adnan adalah antara tujuh calon naib presiden Umno yang bertanding dalam pemilihan parti itu bulan lalu.

Bagaimanapun, keputusan pemilihan naib presiden mengejut banyak pihak apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad memperolehi undi terbanyak dan diikuti oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Manakala penyandang jawatan tersebut, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menduduk tangga ketiga, manakala Tan Sri Muhammad Muhd Taib gagal mempertahankan jawatan tersebut.

Keputusan itu telah mencetuskan dakwaan berlakunya pembelian undi dan politik wang kerana Isa tidak dijangka langsung akan memenangi jawatan tersebut.

Tiada laporan rasmi

Selepas itu, Adnan secara terbuka bercakap mengenai politik wang yang didakwanya berlaku sewaktu berlangsungnya kempen bagi pemilihan tersebut.

Seorang lagi pemimpin Umno yang bersuara lantang mengenai politik wang ialah Menteri Penerangan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang gagal mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT).

Bagaimanapun, kedua-dua mereka enggan membuat laporan rasmi kepada Lembaga Disiplin Umno dengan alasan tidak mahu menjejaskan kedudukan rakan-rakan mereka yang sudah menang.

Dakwaan politik wang mencapai kemuncaknya di saat-saat akhir kempen bagi jawatan Naib Presiden dan MT selepas pucuk pimpinan parti memberi kelonggaran kepada calon-calon menemui perwakilan serta mengadakan jamuan untuk mereka.

Sebelum ini, calon-calon yang bertanding dilarang sama sekali berbuat bagi mengelak berlakunya politik wang.

Selain itu, ibu pejabat Umno sendiri telah melantik ejen-ejen perisik untuk mengesan calon-calon atau penyokong mereka yang terbabit dalam politik wang, untuk dilaporkan kepada Lembaga Disiplin Umno diambil tindakan.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In