Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dilucutkan gelaran Datuk Seri berikutan cadangan untuk menarik balik gelaran darjah kebesaran jika penerimanya terbabit dalam jenayah dan didapati bersalah oleh mahkamah.
Anwar menerima darjah kebesaran itu daripada Negeri Perak. Menteri Besarnya Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dilaporkan berkata, perkara tersebut akan ditentukan oleh Dewan Negara Perak (DNP) yang dipengerusikan oleh Sultan Azlan Shah.
Akhbar New Straits Times melaporkan semua penerima darjah kebesaran dari Perak yang terbabit dalam jenayah, termasuk Anwar, akan dilucutkan gelaran mereka apabila dewan berkenaan bermesyuarat untuk memutuskan perkara tersebut.
"Sultan Perak, Sultan Azlan Shah...pada prinsipnya telah bersetuju dengan perkara tersebut," kata Tajol Rosli.
Anwar dianugerahkan gelaran "Datuk Seri", darjah tertinggi yang boleh dianugerahkan oleh Sultan Perak kepada rakyat biasa, pada 1995.
Mahkamah Persekutuan bulan lalu telah membebaskan Anwar daripada sabitan dan hukuman sembilan tahun penjara atas kesalahan meliwat.
Tetapi mahkamah yang sama telah menolak rayuan Anwar yang memohon supaya disemak semula kes rasuah terhadapnya. Dalam kes tersebut, Anwar didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan salahlaku seks terhadapnya.
Datuk jenayah
Perak adalah antara sembilan negeri di Malaysia yang mempunyai institusi beraja. Manakala Yang di-Pertuan Agong pula dipilih secara bergilir setiap lima tahun sekali, dari kalangan sembilan raja berkenaan.
Raja-raja dan Yang Dipertua di empat lagi negeri di Malaysia, menganugerahkan pingat dan darjah kebesaran ketika menyambut hari jadi masing-masing.
Pada tahun 2002, sebanyak 6,314 pingat dan darjah kebesaran telah dianugerah. Ianya dianugerahkan kepada mereka yang membuat jasa kepada negeri dan negara.
Bagaimanapun, pihak istana mengatakan semakan teliti akan dibuat mengenai latarbelakang bakal penerimanya selepas beberapa penerimanya ditahan kerana terbabit dalam pelbagai jenayah, termasuk membunuh.
Sultan Pahang sudahpun menarik alik gelaran Datuk dan Datuk Seri yang diberikan kepada dua ahli perniagaan kerana terbabit dalam kes jenayah.
Sultan Selangor pula telah menggantung gelaran Datuk kepada enam penerimanya kerana menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah.
