PM digesa salurkan semula bantuan kewangan kepada SAR

Arfaeza A Aziz        

Gerakan Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil langkah-langkah segera untuk menyalurkan semula bantuan kewangan kerajaan kepada semua sekolah agama rakyat (SAR).

Gegar turut menggesa Abdullah supaya menarik balik keputusan yang dibuat oleh perdana menteri dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberhentikan bantuan kewangan kepada SAR.

Setiausaha Gegar, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata Perdana Menteri hendaklah tidak teragak-agak untuk berbuat demikian kerana bantuan kewangan tersebut diperlukan oleh lebih 400,000 pelajar SAR sekarang.

"Walaupun tidak menyatakan secara jelas pendiriannya mengenai isu ini, tetapi kami percaya beliau boleh membawa kemajuan positif. Kini tiada lagi ada tuduhan dibuat terhadap SAR, pelajar dan guru-gurunya. Kami menyambut baik perkembangan ini, tetapi beliau tidak boleh berhenti setakat itu sahaja," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Sekolah agama rakyat swasta ini menjadi kontroversi apabila kerajaan sewaktu pimpinan Mahathir, telah memberhentikan bantuan kewangan tahunan antara RM60 hingga RM150 bagi setiap pelajarnya pada Oktober 2002.

Tindakan keras itu diambil selepas Mahathir mendakwa para pelajar SAR, sebahagian besarnya dikaitkan dengan PAS, diajar di sekolah tersebut supaya membenci kerajaan.

Baru-baru ini di Parlimen, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa pihaknya tidak merancang untuk menyambung semula bantuan kewangan kepada SAR.

Pertambahan pelajar

Ahmad Tarmizi juga berkata, bantuan kewangan daripada kerajaan amat diperlukan sekarang memandangkan jumlah pelajar yang mendafar di SAR telah meningkat semula, dan ianya dijangka semakin bertambah tahun depan.

"Kami menjangka pertambahan pelajar sebanyak 20-30 peratus tahun depan kerana ramai ibu bapa masih percaya bahawa pembelajaran agama di SAR lebih baik daripada sekolah kebangsaan," katanya.

Menurutnya lagi, permintaan terhadap SAR semakin meningkat sejak tahun lalu selepas tiada lagi kempen memburuk-burukkan sekolah berkenaan.

"Mungkin kerana Perdana Menteri sekarang tidak membangkitkan lagi isu tersebut, maka yang lainnya tidak berani berbuat demikian. Ini memang melegakan kami. Tahun lepas, keadaannya amat teruk sekali. Selain menghadapi masalah kewangan, kami juga terpaksa menangkis pelbagai tuduhan oleh para menteri dan ahli-ahli politik," katanya.

Beliau berkata, Gegar juga berharap agar dapat mengadakan pertemuan dengan Abdullah bagi menyerahkan memorandum mengenai SAR, tetapi sehingga ini, usaha tersebut belum lagi berhasil.

"Kami telah menulis surat kepada beliau supaya dapat meluangkan masa untuk menerima memorandum tersebut, tetapi kami diminta supaya mengeposkan sahaja.

"Tiada gunanya berbuat demikian kerana kami tidak akan mendapat jaminan beliau akan mengkajinya. Jika kami bagi sendiri kepada beliau, sekurang-kurangnya kami akan mendapat jaminan peribadi beliau untuk meneliti perkara tersebut," katanya/

Menjadi mangsa

Sementara itu, Presiden Persatuan SAR Perak, Wan Ahmad Tarmazi Abdul Aziz pula berkata Abdullah seharusnya memberhentikan layanan berat sebelah terhadap SAR sejak beberapa tahun yang lalu.

"Ketika sekolah-sekolah agama lain diberi bantuan kewangan, sudah tibalah masanya untuk Perdana Menteri memastikan SAR tidak terus menerus menjadi mangsa," katanya.

Jika perkara itu tidak dikendalikan dengan baik, katanya, lebih banyak SAR akan menggulung tikar.

"Di Perak sahaja, lima sekolah menengah terpaksa memberhentikan operasinya. Pada masa ini pun, 32 sekolah lagi hanya bergantung kepada bantuan kewangan daripada Jabatan Agama Negeri dan Baitulmal, yang hanya memberi bantuan RM12 hingga RM50 bagi setiap pelajar," katanya.

Di Kedah, katanya, empat sekolah telah ditutup, 12 diambil alih oleh kerajaan negeri manakala 30 lagi kini bergantung kepada bantuan Jabatan Agama Negeri dan sumbangan orang ramai.

Katanya, walaupun isu SAR kini tidak lagi diperbesar-besarkan, tetapi ia tidak bermakna masalah mereka sudah selesai.

Laporan awam

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Tarmizi turut menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan secepat mungkin hasil laporan jawatankuasa khas mengenai SAR.

"Kami mahu tahu jika cadangan yang kami buat kepada jawatankuasa tersebut diterima tau tidak. Tidak elok membiarkan isu tersebut terumbang-ambing begitu sahaja," katanya.

Manakala pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Murad Mohd Nor, ketika dihubungi malaysia, berkata laporan akhirnya telahpun dikemukakan kepada Abdullah kira-kira sebulan lalu.

"Bagaimanapun, kami belum lagi mendapat sebarang maklumbalas. Mereka juga tidak memberi tanda-tanda bila ianya mahu diumumkan. Kami masih menunggu," katanya.

Jawatankuasa khas telah diminta oleh Yang di-Pertuan Agung supaya turut mengkaji isu membabitkan SAR selepas rayuan mengenainya dihantar kepada Majlis Raja-Raja.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In