Perwakilan pelajar USM didakwa disiasat polis cawangan khas

Beh Lih Yi        

Seramai 37 perwakilan pelajar yang terpilih dalam pilihanraya kampus di Universiti Sains Malaysia (USM) bulan lalu, telah diberitahu oleh pihak berkuasa universiti berkenaan bahawa polis cawangan khas sedang menyiasat latarbelakang politik mereka.

Berikutan siasatan tersebut, majlis perwakilan pelajar USM tidak dapat ditubuhkan sejak sebulan lalu selepas selesainya pilihanraya kampus universiti tempatan pada 15 September lalu.

Kumpulan idealis mahasiswa (pro-pembangkang) berjaya memenangi 19 kerusi di USM manakala 18 kerusi lagi dimenangi oleh calon-calon aspirasi kerajaan (pro-kerajaan).

Malaysiakini difahamkan bahawa Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar USM , Prof Madya Dr Jamaluddin Mohaiadin telah menemui kesemua perwakilan pelajar terbabit pada 7 Oktober lalu.

Menurut sumber-sumber pelajar, sewaktu perjumpaan selama dua jam itu, Jamaluddin telah meminta perwakilan pelajar terbabit menyatakan pendirian politik masing-masing.

Jamaluddin memberitahu mereka yang beliau mahu penjelasan berhubung sebuah laporan dalam majalah kampus USM terbitan terbaru yang menyatakan universiti tersebut kini dikuasai kumpulan pro-pembangkang.

Kali kedua

"Naib Canselor mahu mengetahui identiti 19 perwakilan pro-pembangkang dan 18 perwakilan yang pro-kerajaan. Berikutan itu, beliau kemudiannya meminta kami supaya berpecah kepada dua kumpulan," kata seorang wakil pelajar yang enggan disebut namanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada seorangpun daripada wakil pelajar itu yang mengaku daripada kumpulan pro-pembangkang.

Tindakan mereka itu dikatakan telah menimbulkan kemarahan Jamaluddin dan apabila beliau ternampak seorang pemimpin pelajar dari kumpulan pro-pembangkang, beliau mula menyoalnya.

Jamaluddin didakwa telah berkata kepada pelajar terbabit: "Bagi saya satu sebab mengapa kamu menyokong kerajaan. Jika kamu tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, bermakna kamu ada pro-pembangkang."

Berikutan itu, 37 pelajar terbabit telah diminta membuat pengakuan bertulis, di mana mereka diberi dua pilihan sama ada pro-kerajaan atau pro-pembangkang.

Tiga orang perwakilan pelajar enggan membuat pengakuan bertulis tersebut tetapi yang lainnya telah mengaku dari kumpulan pro-kerajaan.

Larangan

Jamaluddin kemudian dikatakan memberitahu perwakilan pelajar berkenaan bahawa dokumen tersebut akan diserahkan kepada polis cawangan khas untuk siasatan.

"Beliau memberitahu kami, selagi siasatan cawangan khas itu tidak selesai, kami tidak boleh menubuhkan majlis perwakilan pelajar. Beliau juga tidak menyatakan berapa lama siasatan akan berjalan," tambah pelajar tersebut.

Para pelajar dilarang membabitkan diri dalam sebarang parti politik atau pertubuhan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran Naib Canselor mengikut Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Jamaluddin tidak dapat dihubungi sejak semalam untuk mendapat reaksi daripadanya.

Ini adalah kali kedua pemimpin pelajar USM yang terpilih melalui pilihanraya kampus, diminta menyatakan pendirian politik mereka.

Tahun lalu, Jamaluddin dilaporkan berkata langkah itu adalah untuk memudahkan pihak berkuasa untuk 'berkerjasama' dan memboleh beliau mengikuti sebarang perkembangan dalam majlis pelajar di universiti tersebut.

Tukar foto

Sementara itu, di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) pula, 24 perwakilan pelajar yang dikatakan pro-pembangkang, telah menerima surat daripada pihak berkuasa universiti itu meminta mereka memberi penjelasan mengapa mereka membuat pindaan terhadap poster kempen pilihanraya.

Adalah difahamkan, pelajar-pelajar terbabit telah menukar foto pada poster pilihanraya yang diambil oleh jurugambar lantikan universiti itu, dengan foto mereka sendiri, selepas mendapati foto-foto asal itu, tidak elok.

"Foto-foto digital yang disediakan oleh pihak universiti diproses begitu teruk sekali, sehingga kami tidak dapat mengenali calon-calon terbabit," jelas seorang pelajar terbabit.

Surat tersebut dihantar dalam dua peringkat. Tiga belas daripada mereka telahpun dibebaskan dengan amaran selepas pihak universiti berpuashati dengan penjelasan yang diberikan, tetapi kedudukan 11 lagi pelajar masih belum diketahui.

Calon-calon pro-kerajaan menguasai sebahagian besar universiti dalam pilihanraya kampus tahun ini, walaupun terdapat pihak yang memulaukannya dan dakwaan berlakunya penyelewengan oleh kumpulan idealis mahasiswa.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In