Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kelihatan parut bergaris melintang di dahinya.

Tetapi parut itu bukan sebarang parut, kerana ia merupakan satu tanda kesetiaan bagi pengorbanan seorang bekas anggota anggota polis berkhidmat untuk mempertahankan negaranya daripada ancaman komunis di zaman darurat.

Lee Foot Choy, 85, kini yang berkerusi roda kelihatan bangga dan terharu ketika ditemui pada majlis penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) untuk 106 bekas pesara polis oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai kesan parut di wajahnya itu, beliau tanpa segan silu berkata ia adalah hasil daripada tindakannya untuk mempertahankan ketuanya.

"Parut ini saya dapat selepas terkena peluru yang dilepaskan pengganas komunis. Pihak komunis keluar secara tiba-tiba dan melepaskan tembakan ke arah seorang pegawai Inggeris.

"Ketika itu saya berada di situ dan saya terus bertindak melindungi dan menyelamatkan pegawai Inggeris berkenaan, tetapi malangnya saya terkena tembakan sipi yang dilepaskan pengganas.

"Saya tidak ingat tarikh sebenar kejadian itu, tetapi ia berlaku pada tahun 1951 ketika saya berusia 21 tahun," kata Lee kepada Bernama.

Sambil tersenyum puas, katanya sejak dari peristiwa itu, beliau mendapat layanan istimewa daripada pihak British.

"Mereka memberi layanan terbaik kepada saya," katanya.

Namun perkhidmatannya dalam pasukan polis tidak lama sekadar dua tahun sahaja.

Lee seterusnya memilih untuk menerima tawaran memiliki permit teksi yang diberikan oleh kerajaan British.

Beliau yang mempunyai lima orang anak sempat berpesan kepada generasi muda kini untuk mencontohi generasi muda zaman dahulu yang yang sanggup berkorban mempertahankan negara.

"Peliharalah apa yang sudah kita nikmati dan kekalkan keamanan negara," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS