Mohon pengampunan: PKR kata Anwar tidak terbabit

Pauline Puah        

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah membayangkan sebarang hasrat untuk memohon bagi mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, demikian menurut pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

"Tidak. Anwar tidak pernah membayangkan mengenai pengampunan," kata Ketua Pemuda PKR, Mohd Ezam Mohd Nor ketika dihubungi hari ini.

Oleh itu, katanya, hasrat sekumpulan aktivis dan pemimpin pembangkang untuk menghantar memorandum kepada Seri Paduka supaya memberi pengampunan kepada bekas timbalan perdana menteri itu "tidak ada sebarang kaitan dengan Anwar ataupun PKR".

"PKR tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk mendapatkan sebarang pengampunan. Itu adalah atas inisiatif badan-badan bukan kerajaan (NGO). Ianya tidak ada kena mengenai dengan kami," tambah Ezam.

Dalam satu perhimpunan yang dianjurkan oleh Institut Pemikiran Strategik (IPS) semalam, para pesertanya dikatakan telah mencapai persetujuan untuk menghantar memorandum kepada Seri Paduka pada 31 Oktober ini, sempena ketibaan Anwar daripada Arab Saudi.

Antara mereka yang hadir diperhimpunan tersebut semalam ialah Ezam, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden Tian Chua, Setiausaha Biro Antarabangsa DAP Ronnie Liu dan Naib Presiden PAS Datuk Dr Hassan Ali.

Tubuh jawatankuasa

Manakala peguam Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman dilaporkan berkata bekas timbalan perdana menteri itu telah membayangkan mengenai kemungkinan beliau akan memohon pengampunan tersebut.

Ezam, yang turut menyampaikan amanat Anwar di perhimpunan itu semalam, berkata dalam amanatnya itu, Anwar tidak menyentuh langsung mengenai isu pengampunan tersebut.

Beliau berkata, setahunya, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan di perhimpunan tersebut untuk mengkaji mengenai kemungkinan memohon pengampunan, tetapi bukannya menghantar sebarang memorandum.

"Apa yang kami setujui ialah supaya jawatankuasa tersebut mengkaji perkara itu. Saya tidak tahu tujuan mereka mengatakan kami bersetuju untuk menghantar memorandum. Saya tidak fikir mereka akan mendapat sokongan...mereka tiada kuasa untuk berbuat demikian," katanya.

Menurut Ezam lagi, PKR memang mengalu-alu sebarang cadangan dan sumbangan, tetapi tidak semestinya parti itu akan bersetuju dengannya.

Sementara itu, Tian Chua pula berkata, beliau sendiri tidak tahu menahu mengenai isu tersebut kerana beliau beredar lebih awal daripada perhimpunan tersebut yang dianjurkan oleh Padu.

Jawatankuasa baru

"Anwar tidak pernah mahu memohon pengampunan... tidak pernah mengarahkan sesiapapun untuk memohon pengampunan...isu pengampunan itu tidak timbul langsung," tambahnya.

Bagaimanapun, jurucakap Padu, Johari Abdul pula berkeras mengatakan para peserta perhimpunan tersebut telah bersetuju untuk menghantar memorandum itu dan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji perkara-perkara teknikal.

"Bila kami membangkitkannya di perhimpunan tersebut, tiada siapa yang membantah. Pemimpin PKR juga hadir dan tiada seorangpun yang membantah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya sama ada beliau mendapat izin daripada Anwar untuk mengemukakan memorandum itu, Johari, yang juga ahl Majlis Kepimpinan Tinggi (MPT) PKR berkata, timbalan perdana menteri itu tidak mengetahui mengenainya.

Jawatan politik

Sambil menganggapnya sebagai satu inisiatif daripada NGO, beliau berkata: "Anwar mungkin tidak mahu (memohon pengampunan). Tetapi akan akan mencuba."

Pada 2 September lalu, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar daripada sabitan dan hukuman sembilan tahun penjara bagi kesalahan liwat.

Mahkamah yang sama kemudiannya menolak rayuan Anwara terhadap satu lagi sabitan dan hukuman enam tahun penjara bagi kesalahan salahguna kuasa.

Mengikut undang-undang, mereka yang disabit dan dihukum kerana kesalahan jenayah, tidak dibenarkan memegang jawatan dalam parti politik selama lima tahun selepas dibebaskan.

Ini bermakna, Anwar juga terpaksa menunggu sehingga tahun 2008 sebelum dapat berbuat demikian.

Bagaimanapun, jika Anwar mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, beliau boleh memegang jawatan dalam parti politik atau bertanding dalam piliharanraya pada bila-bila masa.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In