Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mempertikaikan kewajaran badan itu membuat permohonan maaf atas insiden individu tertentu memijak gambar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan itu dibuat ekoran komen bekas menteri , Datuk Zaid Ibrahim, yang menggesa kumpulan pendesak reformasi pilihan raya berkenaan bertanggungjawab atas insiden tersebut.

"Tidak, itu (insiden memijak gambar) bukan inisiatif kami. Malah ia bukan sebahagian daripada program kami dan kami tidak tahu siapa yang memijak gambar itu.

"Adakah kami menghasut mereka? Rasanya tidak," kata Maria kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Namun Maria mengakui pertubuhan berkenaan marah kerana insiden itu berlaku.

Tak minta sesiapa buat

Katanya, BERSIH 2.0 memang tidak akan membiarkan kejadian seumpama itu berlaku lagi tetapi tidak melihat sebarang keperluan meminta maaf atas sesuatu yang tidak dilakukan.

Kejadian itu membangkitkan kemarahan sebahagian ahli PAS dan menganggapnya biadap apabila pemimpin mereka diperlakukan begitu.

PAS Wilayah Persekutuan sendiri membuat laporan polis berhubung kejadian itu hari ini.

Kata Maria, BERSIH tidak pernah bersetuju dengan kejadian berkenaan dan memberi jaminan, semua pertubuhan bukan kerajaan dan jawatankuasa pemandu pertubuhan itu tidak mendalanginya.

"Kami tidak pernah meminta sesiapa melakukan perkara itu, sama seperti kami tidak akan ke sana sini mencurah cat merah atau membakar patung (untuk menunjukkan kemarahan)," katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada sekumpulan orang awam diketuai pemimpin Umno bahagian mencurah cat merah ke atas patung Maria sebelum BERSIH 4 bermula.

Sementara itu dalam kenyataan medianya, BERSIH 2.0 menyatakan rasa kesal kerana insiden memijak gambar Abdul Hadi diberi perhatian lebih meluas berbanding tuntutan ratusan ribu rakyat yang mahu diadakan reformasi dalam sistem negara, selain peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.

Mahukan reformasi sistem

Mereka berkata, BERSIH tidak menyokong sebarang tindakan mana-mana pihak memijak gambar Abdul serta Najib itu.

"BERSIH 2.0 mengulangi sekali lagi bahawa himpunan aman 34 jam adalah panggilan rakyat untuk reformasi sistem yang korup dan perletakkan jawatan Najib Razak.

"Insiden pemijakan gambar yang dilakukan oleh beberapa individu sama sekali tidak tersenarai dalam atur cara rasmi BERSIH 4," kata pertubuhan berkenaan.

Dalam himpunan aman pada 29 dan 30 Ogos lalu, beberapa individu dirakam memijak gambar Abdul Hadi yang diubah memeluk Najib.

Insiden itu dipercayai ada kaitan dengan kekecewaan sesetengah rakyat terhadap cara Abdul Hadi dan PAS mengendalikan pakatan pembangkang yang kini sudah berkubur.

Selain menuntut Najib meletak jawatan, BERSIH 4 juga membawa lima tuntutan dalam perhimpunan itu, iaitu pelaksanaan pilihan raya bebas dan adil; mewujudkan kerajaan yang telus, jaminan hak untuk berdemonstrasi, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.

Lihat Komen
ADS