Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Menteri Pendidikan baru Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan minggu lalu bahawa modul baru yang dikenali sebagai “Bina Bangsa” akan diperkenalkan untuk sekolah rendah jenis kebangsaan bagi menangani kekurangan interaksi antara kaum dalam kalangan murid.

Beliau juga mengeluh bahawa sukar untuk menarik bukan Melayu ke sekolah kebangsaan kerana kewujudan sekolah vernakular yang berbahasa ibunda Cina dan Tamil.

Oleh kerana Mahdzir beranggapan inilah punca perpaduan negara terjejas, lantas beliau melihat keperluan untuk melaksanakan program wajib bagi membolehkan anak yang berbeza latar belakang dan sekolah bertemu dan beramah mesra.

Idea untuk menggalakkan penglibatan yang lebih silang budaya sudah tentu patut dipuji. Walau bagaimanapun, terdapat kelemahan jelas dalam logik menteri pendidikan ini apabila beliau mencadangkan program ini hanya diguna pakai di sekolah vernakular.

Pertama, bertentangan dengan persepsi umum, sekolah kebangsaan sebenarnya kini lebih mono-etnik dari segi komposisi berbanding sekolah vernakular, khususnya sekolah vernakular Cina, ataupun SJKC.

Meskipun benar bahawa sekolah kebangsaan pada 1960-an dan 1970-an boleh berbangga dengan kemasukan bukan Bumiputera yang tinggi, ini tidak lagi berlaku.

Malah, menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), murid Bumiputera kini membentuk 94 peratus daripada enrolmen di sekolah rendah kebangsaan.

Hal ini bermakna enrolmen bukan Bumiputera di sekolah kebangsaan telah menurun kepada paras yang amat rendah, iaitu hanya 6 peratus.

Sementara itu, PPPM juga melaporkan bahawa pendaftaran bukan Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina telah meningkat kepada 12 peratus – dan semakin meningkat.

Ini secara langsung bermaksud bahawa sekolah Cina adalah lebih berbilang kaum berbanding sekolah kebangsaan. Malah, ada sekolah Cina dengan jumlah enrolmen bukan Cina yang sangat besar. Sebagai contoh, SJKC Tiong Hua Kok Bin di Klang mempunyai kira-kira 45 peratus murid bukan Cina.

Kedua, dengan mencadangkan bahawa hanya sekolah vernakular perlu menjalani program “Bina Bangsa,” ia membawa implikasi bersangka buruk bahawa sekolah vernakular adalah penghalang kepada perpaduan negara. Ini adalah satu hipotesis yang tidak mempunyai asas langsung.

Hakikatnya, bukan komposisi demografi sekolah atau bahasa pengantar yang menentukan perpaduan negara atau membina sifat kecenderungan perkauman atau rasis.

Mengikut logik Mahdzir, semua murid Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) akan menjadi manusia rasis yang bersifat jumud atas dasar sekolah tersebut dikhaskan hanya untuk Melayu.

Walau bagaimanapun, saya benar-benar boleh mengesahkan bahawa hal ini tidak benar, kerana saya mempunyai ramai kawan dan saudara-mara yang belajar di sana.

Pada masa yang sama, saya juga mempunyai rakan-rakan yang belajar di SJKC sepanjang tempoh pendidikan mereka, dan hari ini menjadi warga Malaysia sejati yang cintakan negara sebagaimana mereka yang dari MCKK.

Dalam nada yang sama, saya juga mengenali ramai orang Eropah yang membesar dalam persekitaran seluruhnya Caucasian tanpa berjumpa dengan mana-mana orang bukan-Eropah sehinggalah alam dewasa, namun tidak sedikit pun taksub dalam cara pandang dunia mereka.

Sebenarnya, bukan komposisi etnik atau bahasa yang digunakan dalam persekitaran yang membentuk pandangan hidup seseorang, tetapi nilai-nilai yang diajar di sekolah dan di rumah.

Daripada menyalahkan sistem pendidikan pelbagai aliran yang sudah kian lama diamalkan di negara kita, Menteri Pendidikan harus sedar bahawa punca kekurangan perpaduan itu adalah kelemahan nilai-nilai yang disemai serta kualiti pendidikan yang merosot, khususnya dalam sekolah kebangsaan kita.

Persoalan yang lebih penting direnung adalah: mengapa semakin kurang ibu bapa bukan Bumiputera menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan manakala lebih ramai ibu bapa Bumiputera menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina?


ZAIRIL KHIR JOHARI adalan Ahli Parlimen Bukit Bendera dan jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi .

Lihat Komen
ADS