Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Semangat muhibah dan perpaduan antara kaum Cina dan Melayu sepatutnya ditonjolkan dalam perhimpunan BERSIH 4 berbanding laporan isu gambar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipijak, kata MP Shah Alam.

Khalid Samad yang juga bekas ahli jawatankuasa PAS pusat berkata, dalam perhimpunan hujung minggu itu terdapat peserta Cina membantu peserta Melayu mengambil wuduk, malah mengawasi saf ketika orang Islam menunaikan solat.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan isu memijak gambar itu dibangkitkan oleh pihak tertentu kerana mahu menjurus kepada perbalahan antara kaum.

"Kami kutuk sekeras-kerasnya usaha untuk mencetuskan isu perkauman, ada upacara memijak gambar Najib dan Hadi Awang tapi tiada bangkitkan kerjasama antara kaum yang bantu Islam, dan buat kepungan orang sembahyang agar tidak diganggu.

"(Pijak gambar) sama ada memang diubahsuai, yang dibuat untuk tujuan tertentu sebagai tindakan provokasi.

"Mungkin ia dibuat hanya segelintir yang jelas ada agenda tertentu,” katanya dalam sidang media di Shah Alam.

Minggu lalu pengguna Internet menggunakan media sosial untuk menyebarkan gambar peserta BERSIH 4 memijak gambar Abdul Hadi yang diubah suai berada dalam keadaan berpelukan dengan Najib.

Khalid berkata dakwaan hanya sepuluh peratus bangsa Melayu turut serta tidak benar kerana berdasarkan pengamatannya terdapat 20 hingga 25 peratus Melayu yang hadir.

"Kita kecewa dengan golongan nak guna isu perkauman, hakikat kehadiran orang Melayu tidak sedikit. Saya anggarkan 25 hingga 30 peratus semakin ramai pada hari terakhir.

Selain PAS yang tidak membenarkan ahli menyertai BERSIH 4, Khalid berkata peserta Melayu tidak turun dalam perhimpunan itu bagi mengelak perbalahan dan ketenangan kaum.

"Ketakutan mereka (bahawa) akan berlaku perbalahan dan ketegangan kaum dan sebagainya. Ada fatwa haram tapi akhirnya ramai lagi Melayu yang turun.

"Tidak ada persoalan mengenai kaum, kami kutuk keras usaha untuk cetuskan isu perkauman," katanya.

Lihat Komen
ADS