Peristiwa Tak Bai: Asean perlu tubuh pasukan penyiasat
Sekretariat Pemuda Islam Asean (Amsec) menggesa diadakan persidangan tergempar Menteri-menteri Luar Asean bagi membincangkan kejadian pembunuhan 84 penduduk Islam di Selatan Thai dan tindakan tegas yang perlu diambil terhadap negara tersebut.
Ketika membuat gesaan itu, Presiden Amsec, Mahfur Omar berkata, Malaysia selaku anggota negara Asean dan pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) perlu memanggil persidangan tersebut bagi menyelamatkan umat Islam di wilayah Selatan Thai itu.
Katanya, Malaysia sebagai negara jiran terdekat yang mungkin menghadapi beban kegiatan militan dan pelarian, perlu mengambil tindakan politik yang tegas ke atas Thailand, kerana wilayah terbabit terletak tidak sampai satu kilometer dari sempadan negara ini.
"Amsec membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Thailand yang melakukan pembunuhan ke atas lebih 80 orang umat Islam di Selatan Thai pada 25 Oktober lalu," tambahnya dalam satu kenyataan.
Mahfuz juga menyifatkannya sebagai satu perbuatan terkutuk yang melanggar nilai-nilai kemanusiaan dan samasekali tidak menggambarkan semangat Asean yang bebas, aman dan berkecuali.
Sehubungan itu, katanya, Amsec menuntut supaya sebuah pasukan penyiasat dibentuk oleh Asean untuk menyiasat kejadian sebenar yang berlaku di negara tersebut.
"Amsec juga mendesak supaya satu tindakan tegas dikenakan dengan menggantung keahlian Thailand dalam Asean sehingga kes ini selesai disiasat.
Bayar gantirugi
"Asean hendaklah mengarahkan Thailand membayar gantirugi kepada semua mangsa, selain mengenakan tindakan undang-undang ke atas semua pihak yang terlibat dengan membawa mereka ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana jenayah tersebut," tambahnya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga mendesak negara-negara Asean supaya memulau Thailand dalam semua kegiatan antarabangsa, termasuk memberikan tekanan politik dan ekonomi sehingga negara tersebut memberikan kerjasama bagi satu siasatan antarabangsa.
"Negara-negara Asean hendak memulau semua aktiviti politik ekonomi Thailand, termasuk tidak menyertai persidangan-persidangan antarabangsa yang melibatkan Thailand.
"Aktiviti-aktiviti lain seperti import eksport, pelancongan, kerjasama ekonomi dalan lain-lain hendak turut dihentikan sebagai membantah keganasan Bangkok ke atas penduduk Selatan Thai," katanya.
Menurut Mahfuz, tindakan Thailand itu secara tidak langsung telah mencetuskan krisis baru di rantau ini yang boleh mengundang kepada campur tangan kuasa asing, khususnya pengganas antarabangsa, Amerika Syarikat.
Amsec, katanya, tidak dapat menerima apapun alasan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang melihat tindakan tersebut sebagai wajar untuk menyuraikan tunjuk perasaan.
"Adalah tidak munasabah tunjukan perasaan aman bagi mendesak kerajaan membebaskan beberapa tahanan, dibalas dengan serangan bersenjata sehingga membunuh berpuluh-puluh umat Islam.
Campurtangan asing
"Demonstrasi sepatutnya dilayan dengan cara yang lebih berhemah, bukannya secara kekerasan. Tetapi kerajaan Thailand bukan sahaja melakukan pembunuhan kejam, bahkan menganggap pembunuhan tersebut sebagai wajar," tambahnya.
Katanya, negeri-negeri di Selatan Thai telah dijajah oleh Siam semenjak pertengahan abad ke-18 dan hari ini kerajaan Thailand mengulangi keganasan yang sama ke atas penduduk di sana.
"Amsec percaya umat Islam di sana mempunyai hak-hak ke atas tanahair mereka. Kerana itu mereka berjuang membebaskan negeri mereka daripada cengkaman Thailand.
"Perbuatan Thailand melakukan kekerasan seperti ini untuk menghalang kebangkitan rakyat Pattani adalah mencabul hak kemanusiaan umat Islam di sana," tambahnya.
Menurutnya lagi, keganasan di Selatan Thai juga telah menjejaskan keselamatan negara jiran serantau, terutama kemungkinan wujud gerakan-gerakan militan untuk menyerang balas kepentingan kerajaan Thailand yang berpusat di negara-negara rantau ini.
"Lebih malang lagi sekiranya konflik ini akan mengundang campurtangan kuasa asing yang akan meletakkan Asean dalam kandang orang salah dalam isu keganasan," tambahnya.